NIBONG TEBAL : Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyifatkan isu kafir yang mengaitkan dirinya sebelum ini sudah selesai biarpun ia dipetik luar daripada konteks yang sepatutnya.
Kata Fadhlina, beliau kini mahu memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap tugasnya bagi memastikan isu-isu reformasi pendidikan yang sedang dilaksanakan berjalan lancar.
“Saya sudah jawab (isu kafir) dan saya dah sebut bahawa ada beberapa beberapa perkara dipetik luar konteks dan kenyataan saya itu harus dibaca dan diterima sepenuhnya.
“Maka, saya anggap isu ini dah selesai dan kita ‘move on’ (teruskan dengan hal lain) untuk pastikan isu-isu dan reformasi pendidikan yang sedang dilaksanakan dapat diberikan tumpuan.
“Jadi, abaikan isu-isu yang akan ganggu kerja kita apatah lagi di hujung Ramadan ini. Jangan buat fitnah dan sama-sama tumpu amal ibadah serta kejar Lailatul Qadar. Insya-Allah, sama-samalah berdoa semoga amal kita diterima,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jaulah Ramadan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Acheh, di sini, hari ini.
Dalam program yang sama, KPM dengan Kerjasama Yayasan Didik Negara turut memberikan sumbangan kepada 100 pelajar asnaf di sekolah terbabit.
Terdahulu, tular satu video yang memaparkan Fadhlina menolak penggunaan label kafir dan mengharamkan anak-anak beliau menggunakan perkataan terbabit di rumah.
Susulan penyebaran video itu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, beliau menerima pelbagai reaksi negatif daripada netizen sehingga keselamatan dirinya turut terancam.
Semalam, beliau tampil membuat laporan polis selain menyatakan bahawa peguamnya kini dalam proses mengumpulkan bukti menerusi media sosial termasuklah dalam bentuk hantaran, kongsian, komentar dan lain-lain medium.
Fadhlina dalam kenyataan sebelum itu dilaporkan berkata, video tular di media sosial berkaitan isu kafir diambil di luar konsensus dan diselewengkan konteks dengan cubaan jahat mahu mencalarkan imej serta dan kredibiliti beliau.
Ketua Wanita PKR itu menyifatkan, tindakan tersebut sengaja berniat mencetuskan kekecohan dalam isu berkaitan 3R (agama, bangsa dan institusi raja) dengan memercikkan pemesongan makna ucapan sebenar sehingga beliau ditohmah dengan ujaran kebencian, tuduhan tidak benar dan fitnah selain diancam keselamatan.-UTUSAN










