Edaran air balang, bubur lambuk tradisi Surau At-Taqwa - Utusan Malaysia

Edaran air balang, bubur lambuk tradisi Surau At-Taqwa

Surau At-Taqwa
AZRI Bhari (tujuh, kiri) bergambar bersama penduduk yang hadir menerima sumbangan juadah berbuka puasa pada program infaq pandu lalu dekat Seksyen 7 di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Edaran bubur lambuk dan air balang percuma kepada penduduk setempat dekat Seksyen 7 sebagai juadah untuk berbuka puasa pada setiap kali Ramadan menjadi tradisi Surau At-Taqwa.

Menurut Pengerusi Surau At Taqwa, Prof. Madya Azri Bhari, tradisi itu sudah memasuki tahun ke empat dan lebih menarik ia turut disertai pelbagai pihak yang menyumbang pelbagai lagi juadah dan minuman lain.

“Pengurusan surau menyediakan menu bubur lambuk dan minuman percuma seperti jus tembikai dan soya. Kemudian ada makanan sumbangan orang ramai seperti nasi berlauk, nasi ayam,nasi mandy, kuih-muih, buah-buahan dan sebagainya untuk diedar.

“Alhamdulillah program ini sudah masuk tahun keempat bermula pada 2020. Semua diedar secara percuma hasil sumbangan infaq orang ramai di sini tidak mengira bangsa Melayu, Cina dan India,” katanya ketika ditemui.

Beliau menambah, kali ini program tersebut disertai pelbagai agensi termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM) iaitu Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP), Akademi Pengajian Islam  Kontemporari (ACIS) serta Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf UiTM (ZAWAF) 

Malah, jelasnya, program yang mendapat inspirasi dari budaya bertukar juadah dan berkongsi rezeki di kampung diadakan dengan kerjasama pihak persatuan penduduk, Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 3, Team Teratak Infaq, Kebun Komuniti (Kekom) 7 dan Restoran Sidah & Catering.

“Kita libatkan kakitangan dan pelajar sebagai sukarelawan untuk menjayakan program kemasyarakatan ini. Kita ingin mendidik pelajar untuk berinteraksi dengan masyarakat agar mereka membiasakan diri dengan perkara tersebut satu hari nanti.

“Program ini juga mengikut sunnah nabi untuk kita berkongsi rezeki memberi sumbangan kepada orang berbuka puasa dan  mendapat pahala tanpa mengurangkan pahala orang yang yang berpuasa tersebut,” ujarnya.

Sementara itu Pengurus Projek Infaq Pandu Lalu, Mohd. Tarmizi Abdul Wahab memberitahu, konsep bersedekah seperti bertukar juadah di desa tersebut amat dialu-alukan untuk sumbangan dari masa ke semasa.

Orang ramai boleh menghubunginya di talian 0122352661 untuk sumbangan infaq dan juga berkongsi pengalaman melaksanakan projek kemasyarakatan unik tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN