SEMEMANGNYA, sudah agak lama Dazrin Kamarudin, 36, tidak muncul dengan sebarang naskhah drama atau telefilem untuk mengubati kerinduan peminat di kaca televisyen.
Bagaimanapun, itu tidak bermakna, sinarnya sebagai seorang selebriti sudah menghilang. Malah, siapa sangka, sekarang, Dazrin semakin mencipta nama dalam bidang perniagaan kilang karpet yang diceburinya sejak lapan tahun lalu.
Hampir sahaja menyapanya sebagai jutawan.Maklumlah, apa yang diusahakannya juga semakin berkembang dan laku keras.
Namun, lekas-lekas Dazrin menjawab, gelaran jutawan bukanlah satu perkara utama kerana pandangan seperti itu sangat subjektif.
“Tak usahlah gelar saya jutawan. Menjadi jutawan itu bagi saya, bukan soalnya. Ini kerana dalam perniagaan, sesiapa yang buat bisnes automatik masyarakat akan cakap dia kaya.
“Saya ini tak sampai tahap itu tetapi bolehlah ‘bernafas’. Bagi saya gelaran jutawan itu subjektif. Berapa kaya seseorang itu yang boleh kita nilai? Terpulang kerana apa yang saya buat ini adalah tentang diri.
“Bukan tengang nak jadi kaya tetapi tentang keselesaan,”katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Al-Aqsa Carpets Factory Outlet, Shah Alam, baru-baru ini.
Kongsi Dazrin, kehidupannya juga lebih tenang kini memandangkan kesibukannya menguruskan perniagaan adalah sumbangan semulanya juga kepada komuniti terutama dalam tumpuan kepada penaiktarafan dan menghias surau dan masjid di seluruh tanah air.
Meskipun sibuk, tidak adil sekiranya orang ramai terus beranggapan bahawa dia kini sudah bersara daripada bidang seni.
Bahkan perkataan bersara itu sendiri tidak pernah terlintas dalam fikirannya memandangkan kecintaannya terhadap dunia seni tidak pernah luput.
“Mana ada, saya tak pernah pun umum bersara dari kerjaya lakonan tetapi saya akui kini agak perlahan untuk aktif sebab mahu tumpu pada bisnes. Saya ini bukan jenis goyang kaki walaupun ada ramai pekerja.
“Saya buat bisnes pun sebab minat dan itu yang saya perjuangkan. Saya tak nak sia-siakan segala yang diusahakan. Cuma kalau bab berlakon, saya kena tengok dulu tawaran yang datang.
“Sebenarnya, ada sahaja tawaran yang datang. Itu menunjukkan masih ramai rakan industri terutama penerbit dan pengarah yang tak lupakan saya,”katanya.
Bagaimanapun, kata Dazrin, adakala dia turut berasa bersalah kerana tawaran lakonan yang datang terpaksa ditolak dengan baik meskipun ada antaranya ditulis khas buat dirinya.
“Tengok pada naskhah juga. Saya pun adakala rasa bersalah kerana ada antara skrip ditulis khas untuk saya. Tetapi melihat kepada komitmen yang panjang, saya terpaksa tolak.
“Saya tahu adakala perlu juga berlakon semula. Ini kerana yang mana kenal, tahu saya pelakon. Ada yang tak kenal, mereka ingat saya cuma pempengaruh di Tiktok saja. Sampaikan sekarang ramai yang panggil saya ‘bos karpet’.
“Kemana-mana orang panggil begitu. Melekat pula dengan panggilan itu. Saya tak terasa hati pun sebab rasa benda itu macam kelakar pun ada.
“Alhamdulillah, itu bermakna jenama perniagaan saya semakin dikenali ramai,”katanya.
Mahu bantu rakan artis
Dalam pada itu, kata Dazrin, dia juga menyimpan hasrat untuk membantu mana-mana rakan artis yang mahu mencari peluang pekerjaan di syarikatnya.
Menurut pelakon drama bersiri Gerak Khas Undercover ini, menyedari hakikat bahawa bidang seni tidak selamanya memberi jaminan pekerjaan, penggiat seni kreatif selalunya buntu untuk mencari pendapatan lain yang lebih stabil.
“Saya terbuka jika ada rakan-rakan artis yang mahu bekerja dengan saya. Tetapi tak semua juga kita ambil sebab masih perlu teliti dari segi kemampuan, karisma dan energi.
“Sebab ini juga satu perniagaan. Jadi saya tak nak pula ramai yang salah faham. Apa pun, kalau mahu lakukan perubahan dalam hidup, saya sokong dan boleh bantu sekiranya bersesuaian,”katanya.










