Duit 1MDB beli hartanah di New York, London

Duit 1MDB beli hartanah di New York, London

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak AS$15 juta daripada wang yang diselewengkan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diguna untuk membeli dua hartanah masing-masing di New York dan London dan sebuah lukisan pelukis Pablo Picasso, sekitar 2014.

Hartanah di New York dianggarkan berharga AS$4.5 juta manakala kedia­man di London merupakan sebuah apart­men berhampiran pusat mem­beli belah mewah, Harrods dianggarkan berni­lai £1.8 juta.

Menurut bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan, wang bagi membeli har­tanah-hartanah tersebut disediakan oleh ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho hasil daripada pelaburan dalam beberapa entiti seperti Affinity Equity Investment dan Blackstone Real Estate Corporation.

Pada perbicaraan sebelum ini, Affinity Equity dan Blackstone telah dikatakan di­kendalikan oleh Eric Tan Kim Loong yang merupakan sekutu Jho Low.

Tambah Jasmine, apartmen di London pada mulanya ingin disewakan dan pengubahsuaian kediaman terbabit telah pun berjalan.

“Selepas selesai pengubahsuaian, saya tidak meneruskan hasrat untuk menyewakan­nya kerana pada ketika itu media giat melaporkan mengenai skandal penyelewengan tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, Jasmine me­nafikan kesemua aset tersebut adalah miliknya sebalik­nya beliau hanya pemegang amanah.

Bagaimanapun, dia mengesahkan semua aset berkenaan telah disita oleh Jabatan Keha­kiman Amerika Syarikat (D0J).

Lakaran oleh Norkamaro Mohd. Noor menunjukkan Jasmine Loo Ai Swan disoal oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur semalam. – UTUSAN

Saksi pendakwaan ke-50 dalam perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.23 bilion membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Dalam pada itu, Jasmine memberitahu, kali terakhir dia berkomunikasi dengan Jho Low ialah pada Mac 2023.

Sementara itu, perjumpaan terakhir dengan lelaki itu adalah di Shanghai sekitar 2017 bagi membincangkan mengenai pembinaan sebuah pusat beli-belah di Bangkok.

Tambahnya, pada perte­muan tersebut, dia turut mengambil kesempatan berbincang dengan Jho Low mengenai skandal penyelewengan dana 1MDB yang mula diperkatakan di media dan prosiding lucut harta beberapa individu termasuk dirinya.

Katanya, dia berhasrat untuk membuat penyelesaian tetapi terdapat permohonan bagi menggantung tindakan melucut hak oleh DoJ ke atas ke­semua aset tersebut.

Pada 4 September 2023, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dalam satu sidang media khas memaklumkan nilai keseluruhan sitaan aset dan hartanah Jasmine dianggarkan mencecah nilai RM93.2 juta.

Antara barang yang dirampas adalah dua potret lukisan Pablo Picasso, jam tangan mewah dan beberapa lot tanah di luar negara.

Dalam sidang media itu, Ayob Khan turut menyata­kan Jasmine mengesahkan pe­milikan aset dan hartanah milik­nya di Amerika Syarikat, Switzerland, dan Singapura diperoleh hasil daripada penyelewengan dana 1MDB.

Polis turut menyita beberapa aset milik wanita itu di sebuah kondominium di Bukit Damansara, di sini yang dipercayai lokasi Jasmine menyimpan aset diperoleh daripada dana 1MDB antaranya dua utas jam tangan jenama Richard Mille dan Harry Winston, 13 beg tangan pelbagai jenama dan pelbagai dokumen.

Terdahulu, Jasmine berkata, dia tidak berasa curiga dengan penglibatan Jho Low dalam urusan dana 1MDB adalah seorang penipu kerana ahli perniagaan dalam buruan itu sudah pun kaya ketika itu.

Sehubungan itu, dia tidak pernah mempersoalkan tinda­kan Jho Low ‘menumpang’ wang sejumlah AS$9 juta di dalam dua akaun Bank Swiss miliknya di antara 2012 dan 2013.

“Saya tidak pernah fikir yang dia (Jho Low) melakukan (menyeleweng) sedemikian kerana ketika saya menge­nalinya, dia sudah memperolehi (pendapatan) jutaan ringgit.

“Semuanya kelihatan sempurna tetapi rupanya tidak. Saya percaya apa yang saya percaya (ketika itu),” katanya.

Pada prosiding terdahulu, Jasmine memaklumkan Mahkamah Tinggi di sini yang dia mula mengenali Jho Low apabila menghadiri sesi temuduga di UBG Berhad iaitu syarikat milik Jho Low.

Pada prosiding sama, Jasmi­ne menafikan ada membuat perjanjian dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) atau pendakwaan agar pertu­duhan yang dikenakan terhadapnya, hampir enam tahun lalu, digugurkan.

Tambah bekas Pengarah Ek­sekutif Strategi Kumpulan 1MDB, sehingga kini dia tidak mengetahui status kes pengubahan wang haram yang dikenakan terhadapnya kerana telah menyerahkan segalanya kepada peguamnya.

Terdahulu peguam terbabit bertanya sama ada Jasmine ada membuat perjanjian agar dua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya secara in absentia (tanpa kehadiran) pada 4 Di­sem­ber 2018 digugurkan sebagai galang ganti terhadap kesediaannya menjadi saksi dalam kes 1MDB.

Pada tarikh tersebut, Jasmine didakwa atas dua pertuduhan pengubahan wang haram lebih AS$6 juta yang diterima menerusi akaun Switzerland antara 6 Disember 2012 dan 1 Julai 2014.

Wang itu dipercayai adalah sebahagian daripada dana yang dipindahkan daripada dua tawaran bon 1MDB yang pertama dijamin oleh bank Goldman Sachs.

“Saya serahkan kepada pe­guam saya kerana saya perlu memberi keterangan (kepada pihak berkuasa),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN