PETALING JAYA: Dua pertiga daripada siswazah baharu didapati kekal ‘terperangkap’ dalam kadar gaji rendah atau kurang daripada RM2,000 walaupun memiliki tahap pendidikan tinggi.
Menurut laporan Mendepani Cabaran: Perkembangan Kerjaya Bakat Mahir Malaysia oleh Institut Kajian Khazanah, kajian itu mendapati pertumbuhan gaji Malaysia adalah lembab dan tidak banyak berubah sejak 10 tahun lalu.
Jelas laporan itu, sebanyak 65.6 peratus siswazah Malaysia mempunyai gaji permulaan kurang daripada RM2,000 pada 2021; 23.5 peratus bagi gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 manakala 10.8 peratus bagi gaji melebihi RM3,000.
“Kadar kebolehpasaran graduan di Malaysia meningkat dari tahun ke tahun atau 73.1 peratus (2010) kepada 84.8 peratus (2021). Namun, harus diketahui kadar kebolehpasaran siswazah yang tinggi tidak bermakna keberhasilan pekerjaan adalah lebih baik.
“Pada 2021, hanya 59.3 peratus siswazah yang bekerja manakala selebihnya sedang menyambung pengajian, mengikuti program kemahiran atau sedang menunggu tawaran kerja.
“Trend keseluruhan kadar kebolehpasaran siswazah adalah positif dalam tempoh sedekad lalu, dengan penurunan peratus graduan yang menganggur serta peningkatan graduan yang bekerja.
“Namun, terdapat pola baharu dalam kalangan siswazah baharu memilih untuk berehat setelah tamat pengajian, selain peningkatan jumlah mereka yang tidak berminat untuk bekerja,” kata laporan itu.
Selain itu, katanya, peratus siswazah dalam pekerjaan mahir menurun dengan ketara dalam tempoh sedekad lalu, iaitu daripada 63.8 peratus pada 2010 kepada 47.0 peratus pada 2018.
“Kadar ini mula pulih dan kembali meningkat kepada kepada 60.0 peratus disebabkan perluasan liputan responden Kajian Pengesanan Graduan (GTS) yang turut merangkumi lepasan Institut Pendidikan Guru serta Institusi Latihan Kemahiran Awam.
“Siswazah baharu yang terlebih kelayakan semakin meningkat dan menghadapi masalah gaji rendah memberi gambaran ramai yang sanggup menerima pekerjaan tidak mahir dan separa mahir serta bergaji rendah untuk mengelakkan pengangguran,” katanya. –UTUSAN










