KOTA KINABALU: Dua lagi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Upik’ didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Tertuduh, Norsyafilah Pawawoi,28, dan Zulkahar Dusing,29, masing-masing didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Upik’.
Norsyafilah didakwa menjadi ahli kumpulan itu antara 2015 dan 28 Julai 2016 manakala Zulkahar didakwa terlibat dengan kumpulan sama antara 2021 dan 3 Mei 2023.
Atas kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan [Akta 574] dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih dari 20 tahun.
Norsyafilah kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Dia dijatuhkan hukuman penjara sejak 2016.
Zulkahar pula ditahan reman di Penjara Tawau sejak 2022 untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan semasa kes dibacakan dihadapan Hakim, Noor Hafizah Mohd. Salim.
Hakim kemudian menetapkan 22 Mac ini sebagai tarikh serahan dokumen untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi. – UTUSAN










