Dipenjara enam bulan, denda RM12,000 buat hantaran jelik isu stoking

Pemuda dipenjara enam bulan, denda RM12,000 buat hantaran jelik isu stoking

CHIOK Wai Loong dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik akaun Facebook, Chiok Wai Loong yang tular membuat hantaran bersifat jelik melibatkan isu penjualan stoking kalimah Allah minggu lalu, dihukum penjara enam bulan dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Suzana Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap Wai Long, 35, yang merupakan juruteknik aplikasi sosial selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 20 Mac lalu dan penjara tiga bulan lagi sekiranya gagal membayar jumlah denda itu.

Mengikut pertuduhan, Wai Long didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, menggunakan nama profil `Chiok Wai Loong’ pada 18 Mac lalu.

Hantaran itu kemudian telah dibaca dan dilihat pada hari yang sama pukul 3.00 pagi di daerah Brickfields di sini.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding Wai Long yang tidak diwakili peguam merayu agar tidak dipenjarakan selain turut menyatakan ketika kejadian dia tidak berniat untuk menghina.

“Saya memang `keyboard warrior’ macam hobi tapi saya tidak sangka ia (posting) menyentuh sensitiviti, bukan niat saya untuk menghina,” katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Datin Kalmizah Salleh memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan berhujah isu berkaitan agama tidak boleh dipermainkan.

“Hantaran yang dibuat tidak sensitif terhadap agama Islam. Sebagaimana rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama, rasa hormat tidak boleh sama sekali diketepikan,” ujarnya.

Semalam media melaporkan seorang pemilik akaun Facebook ditahan di sekitar Cheras di sini pada Rabu lalu susulan hantaran berunsur menghina Islam melibatkan isu penjualan stoking kalimah Allah baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata, suspek ditahan merupakan lelaki tempatan berumur 35 tahun dan merupakan pemilik akaun Facebook Chiok Wai Loong.

Sebelum ini, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Dr. KK Chai dan tujuh yang lain telah selesai dirakam percakapan berhubung penjualan stoking tertera kalimah ‘Allah’ yang mana sebanyak 80 laporan polis berhubung kes itu dibuat di seluruh negara.

Pada 13 Mac lalu, tular berkenaan penjualan stoking tertera kalimah ‘Allah’ di KK Mart Bandar Sunway selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna media sosial.

Sejurus selepas insiden itu KK Super Mart & Superstore Sdn. Bhd. (KK Super Mart) memohon maaf berhubung penjualan stoking kalimah ‘Allah’ di beberapa cawangan kedai serbaneka itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN