Cubaan seludup ganja bernilai RM15,500 gagal - Utusan Malaysia

Cubaan seludup ganja bernilai RM15,500 gagal

ISMAIL Hashim (tiga dari kiri) menunjukkan ketulan mampat dipercayai ganja yang dirampas sewaktu serbuan di kawasan Kuala Sungai Kampung Pulau, Sungai Berembang, Perlis, pada Jumaat lepas. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) Perlis mengagalkan cubaan menyeludup ketulan mampat dipercayai ganja seberat lima kilogram dalam serbuan di kawasan Kuala Sungai Kampung Pulau, Sungai Berembang pada Jumaat lepas.

Serbuan sekitar pukul 6.45 pagi itu dilakukan oleh sepasukan anggota JKDM Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis sewaktu melaksanakan rondaan persisir air.

Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim berkata, semasa ketibaan pasukan penguatkuasaan di lokasi berkenaan, dua lelaki dikesan berada dalam sebuah sampan dengan keadaan yang mencurigakan.

“Apabila pasukan serbuan ingin membuat pemeriksaan, dua lelaki terlibat bertindak melarikan diri dengan menggunakan sampan ke arah perairan Kuala Perlis disyaki menuju ke negara jiran,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Kastam Padang Besar, di sini, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan satu kotak disyaki berisi ketulan mampat dadah jenis kanabis seberat lima kilogram ditinggalkan di atas batu berhampiran jeti persendirian kawasan tersebut.

Kata beliau, ketulan dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM15,500 dan boleh digunakan oleh seramai kira-kira lebih 25,000 orang penagih.

“Modus operandi digunakan suspek adalah dengan membawa dadah tersebut pada awal pagi bagi menggelakkan tindakan mereka dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 di mana jika sabit kesalahan membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup yang mana boleh juga dikenakan hukuman tidak kurang 12 sebatan.

Dalam perkembangan berlainan, Ismail berkata, pihaknya juga merampas pelbagai jenama rokok yang berpelekat setem cukai palsu menerusi pemeriksaan di sebuah kedai di Jalan Pasar Besar Sena, Kangar, pada 1 Mac lepas.

Katanya, semua rokok itu berjumlah 45,280 batang dan dianggarkan bernilai RM9,056 melibatkan duti dan cukai berjumlah RM20,691.52.

“Pemilik kedai merupakan seorang wanita berusia 37 tahun dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×