IPOH: Penelitian rakaman camera litar tertutup (CCTV) di kedai serbaneka KK Mart di Jalan Bruseh, Bidor yang dibaling objek berisi minyak tanah hari ini mengesan individu yang terlibat dalam kejadian itu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, berdasarkan rakaman itu, lelaki terbabit menaiki sebuah kenderaan berwarna gelap yang mempunyai pelekat Lalamove berwarna merah.
“Kereta dinaiki suspek telah berhenti di tepi jalan di mana seorang lelaki dilihat turun dari kenderaan dan membaling botol kaca berisi minyak tanah ke dalam kedai.
“Suspek kemudiannya dilihat beredar menaiki kenderaan sama,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.
Terdahulu, Mohd. Yusri dalam sidang akhbarnya mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan siasatan sedang dijalankan bagi mengesan pelaku dan kenderaan yang digunakan.
Menurut beliau, objek berupa botol kaca yang dilempar di hadapan kedai serbaneka itu tidak melibatkan letupan mahupun kebakaran di premis berkenaan.
Kejadian sekitar pukul 5.53 pagi itu disedari pekerja wanita kedai serbaneka itu yang terdengar bunyi botol pecah di hadapan premis.
Pengadu segera membuat pemeriksaan dan mendapati terdapat serpihan kaca serta bahan letupan menyerupai mercun di atas lantai kedai.
Berdasarkan laporan, wanita itu memaklumkan ada terhidu bau seperti minyak tanah daripada serpihan kaca berkenaan. – UTUSAN











