Buruh tukar pengakuan tidak bersalah perdagang wanita - Utusan Malaysia

Buruh tukar pengakuan tidak bersalah perdagang wanita

KOMPLEKS Mahkamah Kuala Terengganu di Kuala Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang buruh menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memperdagangkan seorang wanita bagi tujuan seks, 11 Mac lalu.

Mohamad Fazley Jaafar, 29, membuat pengakuan itu dan meminta untuk dibicarakan setelah pertuduhan dibacakan semula hari ini di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dan seorang guru, Mohd. Hasfyanizam Mansor, 48, didakwa bersama-sama memperdagangkan seorang wanita tempatan berumur 29 tahun bagi maksud eksploitasi seks.

Dua sekawan tersebut didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah apartment di bandar raya ini kira-kira pukul 2.35 pagi pada 11 Mac lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (KK).

Jika sabit kesalahan, Mohamad Fazley dan Mohd. Hasfyanizam boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

21 Mac lalu, akhbar ini melaporkan Mohamad Fazley mengaku bersalah di hadapan Hakim Nazlyza Mohamad Nazri dengan mahkamah menetapkan hari ini sebagai tarikh jatuh hukum.

Rakannya, Mohd. Hasfyanizam yang juga seorang guru di sebuah sekolah rendah mengekalkan pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 April sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 setiap seorang.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Iffah Nabihah Mohd. Ishak manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Ghazali Ismail. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN