GEORGE TOWN : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan (BNT) kelas C di perairan Pulau Pinang semalam kerana didapati telah melanggar syarat sah lesen ketika beroperasi.
Pemangku Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Komander Maritim SP Nak Rong berkata, BNT itu ditahan pada kedudukan 25.9 kilometer (km) dari barat daya Pulau Kendi kira-kira pukul 3 petang semalam.
“Ketika rondaan Op Khas Pagar Laut dijalankan di sekitar perairan itu, Kapal Maritim telah mengesan sebuah BNT bergerak dalam keadaan mencurigakan.
“Sehubungan itu, mereka mengambil langkah pantas dengan menahan BNT berkenaan bagi tujuan pemeriksaan dan penggeledahan,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, BNT berkenaan menggunakan pukat tunda sebagai alat penangkapan ikan dan dikendalikan oleh empat kru termasuk tekong warga Thailand yang berusia dalam lingkungan 29 hingga 75 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua kru mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah sewaktu penggeledahan dilaksanakan.
“Bagaimanapun, mereka didapati telah melakukan aktiviti penangkapan ikan kurang daripada 27.7 km dari daratan,” katanya.
Tambahnya, kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 di bawah Seksyen 8 (b) melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang daripada 15.0 batu nautika.
“Kesemua kru, bot serta hasil tangkapan dianggarkan 1,500 kilogram ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.-UTUSAN










