KUALA SELANGOR: Kepemimpinan Perikatan Nasional (PN) negeri ini mengambil langkah memperkukuhkan kedudukan jentera dan parti menerusi Program Jelajah Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Bersatu.
Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, jelajah tersebut dilakukan untuk mengukuhkan kedudukan parti di semua peringkat di seluruh negeri bermula dari Parlimen Kota Raja pada minggu lalu.
Bagaimanapun, beliau menafikan jelajah tersebut sebagai persediaan perti berdepan dengan pilihan raya kecil (PRK) selepas terdapat dua wakil rakyat di negeri ini bertindak mengisytihar sokongan kepada Kerajaan Persekutuan dan negeri.
“Kami mahu membuktikan komitmen parti untuk terus berjuang demi rakyat dan menghadapi segala faktor kemungkinan.
Saya datang (program BPN) bukannya untuk berkempen menghadapi PRK namun fokus utama adalah menjelajah di seluruh Selangor,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Tanjong Karang yang juga Ketua Bersatu Bahagian kawasan itu, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi menjadi pemimpin blok pembangkang terbaharu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kemudian disusuli Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari yang mengisytihar sokongan kepada kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, minggu lalu.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin yang juga Ketua Pembangkang Selangor menjelaskan, parti itu bagaimanapun bersedia menghadapi kemungkinan berlakunya PRK di Parlimen Tanjong Karang.
“Ini membuktikan komitmen parti untuk membantu Bersatu dan PN, walaupun matlamat asal jelajah ini adalah untuk perkukuh jentera parti.
“Dengan perkembangan terkini di Tanjong Karang, kita sebagai parti politik harus siap siaga dengan apa jua kemungkinan seumpama itu,” ujarnya.
Tambah beliau, Bersatu turut akan meningkatkan kerjasama dengan dua parti gabungan itu iaitu Pas dan Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).
“Walaupun kita menang PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) dengan 18,000 undi, sembilan bulan kemudian dalam PRN (Pilihan Raya Negeri) melibatkan Sungai Burong dan Permatang, PN meningkatan sokongan dengan tambahan 10,000 lagi undi.
“Jika berlaku PRN, saya yakin PN akan mempertahankan kerusi Parlimen Tanjong Karang kerana keadaan politik dan demokrasi tidak matang di bawah kepemimpinan Madani,” tegasnya. – UTUSAN










