KUALA LUMPUR: Semua masyarakat harus diberikan ruang berkarya dan melontarkan idea dengan lebih bebas serta tanpa sekatan walaupun kurang disukai kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan mengongkong akan menyebabkan sesuatu penghasilan karya terbantut walaupun disalurkan pelbagai inisiatif untuk berkarya.
Menurut beliau, Malaysia sebagai sebuah negara merdeka harus diberikan ruang sedikit untuk berkarya dengan lebih bebas.
Justeru, kata Anwar, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi harus memberikan ruang kepada pelajar berkarya termasuk mengemukakan idea dan kritikan.
“Saya beritahu Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan) dan Menteri Pendidikan Tinggi, sekolah dan universiti harus diberikan ruang. Menimba ilmu maknanya beri mereka ruang agar lebih kritis, harus ada.
“Tetapi bagi sang penguasa, saya kebetulan dalam kalangan itu kadang-kadang kurang senang (kritikan), tapi harus kebijaksanaan dan kesabaran,” katanya.
Beliau berucap demikian dalam Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, sebarang sekatan dan kongkongan terhadap penulisan karya dan tulisan menyebabkan penghasilan manuskrip terbatas.
“Kalau dunia terlalu mengongkong, karya terbantut, bagilah apa jua hadiah saguhati hadiah sastera seperti mana pengalaman saya boria Pulau Pinang,” katanya.
Beliau kemudian memberi contoh boria di Pulau Pinang yang sesuatu ketika dahulu penuh dan sarat dengan mesej kepada masyarakat.
“Tetapi dijadikan corong budaya yang agak terbatas sebagai alat propaganda, jadi ia membosankan dan tidak lagi boria tradisional sangat indah dan natural (semula jadi).
“Tetapi DBP harus perhatian dalam soal ini supaya ruang berfikir dan ruang berkarya, menuntut sesuatu kebebasan lebih meluas,” katanya.- UTUSAN









