GEORGE TOWN : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sembilan kru nelayan warga asing di atas dua bot nelayan tempatan (BNT) semalam kerana bekerja tanpa permit yang sah.
Pemangku Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Komander Maritim SP Nak Rong berkata, bot-bot itu ditahan pada kedudukan 31.4 kilometer (km) dari barat daya Pulau Kendi, kira-kira pukul 6 petang semalam.
Terdahulu katanya, bot peronda yang giat beroperasi di bawah perintah Op Tiris 3.0 1/2024 memaklumkan bahawa bot berkenaan sedang bergerak sewaktu dikesan.
“Kedua-dua bot berada berdekatan antara satu sama lain ketika pemeriksaan dijalankan dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat empat kru warga Myanmar termasuk tekong berada di atas bot tersebut.
“Sementara itu, pemeriksaan bot kedua yang dilakukan pada waktu yang sama pula mendapati, lima orang kru termasuk tekong yang juga warga Myanmar sedang mengendalikan BNT berkenaan. Turut dijumpai dalam bot itu ialah kira-kira 2,300 kilogram hasil laut,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, kesemua nelayan yang berumur antara 24 hingga 54 tahun itu didapati gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah ketika ditahan.
“Siasatan lanjut mendapati, bot terbabit juga tidak mempunyai surat kelulusan untuk menggunakan radio komunikasi.
“Kesemua kru warga Myanmar yang ditahan itu telah disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.-UTUSAN










