KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengurus pelanggan sebuah bank didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 80 pertuduhan antaranya pecah amanah, menipu dan pemalsuan dokumen jongkong emas semuanya bernilai lebih RM6 juta milik pelanggan, empat tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Saibulrijal Mohd. Saad, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.
Bagi 26 pertuduhan menipu, tertuduh didakwa memperdayakan beberapa pegawai bank untuk mempercayai bahawa beberapa pelanggan hendak mengeluarkan dan membeli 155 jongkong emas dengan menggunakan satu borang yang didakwa ditandatangani pelanggan.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut dan dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, sebat dan juga boleh dikenakan denda.
Bagi 46 pertuduhan pemalsuan dokumen, tertuduh didakwa menggunakan dokumen tulen antara 15 Oktober 2019 hingga 13 Januari 2021.
Dia didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh turut didakwa atas tujuh pertuduhan menyalahgunakan 33 jongkong emas seberat antara 0.05 gram hingga satu kilogram milik tiga wanita termasuk seorang bergelar Datin.
Dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun dan sebat selain boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Mohd. Saibulrijal turut didakwa atas satu pertuduhan pecah amanah iaitu menyalahgunakan dua jongkong emas milik seorang wanita berstatus Datin dan dituduh mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen itu membawa hukuman, penjara tidak melebihi 10 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Semua perbuatan tersebut didakwa dilakukan di bank sebuah bank di pusat beli belah Bangsar di sini antara 15 Oktober 2019 hingga 24 Ogos 2021.
Prosiding hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Zainal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Selepas mempertimbangkan hujah dan rayuan, Azrul membenarkan tertuduh diikat jamin RM465,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan iaitu pasport perlu diserahkan ke mahkamah.
Mahkamah menetapkan 26 April ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam. –UTUSAN









