Bazar Ramadan KL paling banyak makanan tidak terjual

Bazar Ramadan KL paling banyak makanan tidak terjual

FUZIAH Salleh (tiga kiri) mengedarkan hebahan MySaveFood kepada para peniaga di Bazar Ramadan Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur, baru-baru ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kuala Lumpur merupakan wilayah tertinggi dan menjadi penyumbang utama kepada makanan dan minuman yang tidak terjual membabitkan 75 bazar Ramadan di bawah program MySaveFood.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, berdasarkan statistik yang direkodkan, Kuala Lumpur mencatatkan jumlah kutipan makanan dan minuman tertinggi sebanyak 7,594.8 kilogram (kg) diikuti dengan Selangor 6,395kg.

“Faktor utama makanan tidak terjual adalah disebabkan penyediaan makanan yang banyak oleh peniaga berbanding pengunjung yang datang dan yang kedua disebabkan cuaca,” katanya,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Fuziah, sekiranya berlaku hujan, pengunjung akan kurang ke bazar, menyebabkan kutipan juga akan bertambah oleh pasukan MySavefood.

Pada 14 Mac lalu, KPDN me­lancarkan satu program yang dinamakan MySaveFood Ramadan dan menerusinya, sebanyak 33,000kg makanan dan minuman yang tidak habis dijual di bazar Ramadan di seluruh negara berjaya ‘diselamatkan’.

Fuziah memaklumkan sisa makanan dikutip dari bazar Ramadan juga dijadikan baja kompos melalui kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Katanya, pihak SWCorp menyediakan mesin kompos berhampiran tapak bazar Ramadan bagi memudahkan peniaga atau orang ramai menguruskan sisa makanan mereka.

“Mesin kompos ini dapat menghasilkan baja dalam tempoh 48 jam menggunakan bahan enzim,” katanya.

Dalam pada itu, Fuziah turut menggalakkan lebih banyak sambutan daripada orang ramai untuk menjadi sukarelawan dalam program MySaveFood ini.

Katanya, beliau percaya lebih banyak lagi makanan dan minuman yang boleh diselamatkan di samping dapat mengurangkan pembaziran dan sisa makanan yang terbuang setiap kali menjelang Ramadan.

Mengikut statistik menerusi MySaveFood Ramadan, makanan bernilai RM457,421 telah terbuang sehingga 28 Mac lalu yang melibatkan beberapa jenis makanan seperti nasi berlauk, kuih-muih, martabak dan roti jala serta minuman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini