Bawa filem tempatan ke luar negara - Utusan Malaysia

Bawa filem tempatan ke luar negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEJAYAAN dua filem, Zaara dan Sumpahan Syaitan yang sohor kini di tangga teratas di platform OTT Netflix membuatkan semangat pengarah, Roy Krishna menghasilkan naskhah hebat semakin berkobar-kobar.

Matlamatnya adalah untuk memastikan filem tempatan mampu mencipta nama di peringkat antarabangsa. Dia percaya, sebuah filem yang baik dan berkualiti mampu menarik minat penonton hatta di pelosok mana sekalipun.

Bakal tampil dengan filem baharu, Pendamping Nafas Terakhir yang bakal memulakan penggambaran tidak lama lagi, Roy Krishna kali ini mengutamakan pemilihan pelakon selain bekerjasama dengan produksi berbeza.

“Kali ini, Red Firess Film Production akan bekerjasama dengan Astaka Film Makers. Mereka tersebut sudah berkolaborasi dengan pelbagai produksi luar negara seperti Taiwan dan Korea Selatan.

“Pendamping Nafas Terakhir juga merupakan sebuah naskhah 100 peratus seram. Jika sebelum ini ada suntikan elemen komedi, tetapi untuk naskhah tersebut, kita mahu menghasilkan filem seram bertaraf antarabangsa. 

“Penggambaran dijangka mengambil masa 14 bulan termasuk pre-produksi kerana filem ini bakal menggunakan banyak kesan khas imej janaan komputer (CGI) dan tenaga kerja dari dalam serta luar negara,” ujarnya.

Bercakap tentang matlamatnya, bagi Roy Krishna, sebagai penerbit dan pengarah yang sudah 20 tahun berkecimpung dalam industri seni perfileman, sudah tiba masanya untuk dia memberanikan diri menembusi pasaran luar negara.

Kongsinya, kejayaan dua filem di Netflix juga menyuntik lebih semangat untuknya tambahan pula, kerjasama dengan produksi berpengalaman membuatkan dia lebih yakin dengan peluang yang terbuka.

“Sejujurnya, saya sendiri tidak sangka dua filem itu kan tending nombor satu. Ramai rakan produksi dalam dan luar negara hubungi saya keran kejayaan tersebut. Gembira tetapi dalam masa sama, lebih teruja.

“Kita kalau mahu masuk panggung, kena berani. Apatah lagi jika kita mahu menembusi pasaran filem luar negara. Tidak mudah, tetapi saya percaya kita boleh lakukan. Sambutan di platform penstriman juga sangat meyakinkan.

“Saya berharap filem-filem terbitan Red Firess Film Production akan terus mencipta kejayaan di pawagam dan juga platform penstriman. Tidak hanya di Malaysia tetapi Brunei, Singapore, Indonesia dan mana tahu, seluruh dunia,”ujarnya.

TIGA FILEM BAHARU, UJIBAKAT

Bakal tampil dengan dua filem tahun ini, Maharaja Bomoh dan Batu Syaitan, Roy tidak menafikan, kecenderungannya lebih kepada menerbit serta mengarahkan naskhah Melayu bergenre seram.

“Saya anak Malaysia, sudah pasti saya mahu memartabatkan filem tempatan tidak Melayu, Cina atau India mahupun kaum lain. Saya sendiri pernah menerbitkan filem Cina, Melayu dan India.

“Sambutan filem Melayu juga sangat memberangsangkan. Rakyat Malaysia memang suka filem Melayu. Sebab itu saya lebih saya fokus dan senang bekerja dengan produksi lokal untuk menghasilkan filem.

“Melihat industri filem kita, saya sangat bangga. Kita ada ramai pengarah, pelakon yang hebat-hebat. Sebab itu tidak mustahil, filem kita akan melakar kejayaan setanding naskhah luar negara,”katanya.

Katanya lagi, dia juga mahu menjadi pembuka laluan kepada penerbit tempatan lain untuk memasarkan filem lokal ke peringkat antarabangsa.

Dalam perkembangan terkini, Roy memaklumkan, Red Firess Film Production akan mengadakan sesi ujibakat mencari pelakon baharu bagi filem Pendamping Nafas Terakhirnya di Johor April depan.

“Sesi ujibakat tersebut terbuka kepada semua yang mahu menceburkan diri dalam bidang lakonan. Sesi ujibakat itu juga akan diadili oleh saya sendiri dan barisan juri yang terdiri daripada pelakon-pelakon handalan tempatan.

“Kami juga dalam perancangan untuk membawa filem itu ke Korea Selatan dan Taiwan terutama dengan kolaborasi bersama produser Astaka Film Makers Sdn. Bhd., Leow Ming Hwee (kanan) dan pembantu produser, Yeo Chia Yuen.” katanya yang sudah mengarah lebih 30 filem.  

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya