PETALING JAYA: Keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak meneruskan cadangan meminda Perlembagaan berhubung kewarganegaraan untuk anak-anak terdampar membuktikan kerajaan mendengar suara rakyat.
Ketua Penerangan Wanita Keadilan Pusat, Noraini Nordin berkata, keputusan tersebut menunjukkan kerajaan sentiasa peka terhadap pandangan rakyat.
“Pendirian KDN itu menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa mendengar suara hati rakyat berkaitan pindaan yang hendak dicadangkan.Ini bermakna, kerajaan sentiasa ingin bersama dengan rakyat dalam apa juga keputusan yang hendak diambilnya.
“Adalah sangat diharapkan sikap mendengar suara rakyat ini hendaklah menjadi amalan berterusan selepas ini di mana dalam apa jua yang ingin dilakukan.
“Penting untuk kerajaan mengadakan sesi libat urusan yang intensif bagi memastikan pandangan rakyat sentiasa menjadi perkiraan,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, KDN memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan pindaan Perlembagaan berhubung kewarganegaraan untuk anak-anak terdampar.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan pandangan diterima melalui pertemuan intensif dengan ahli parlimen, wakil parti politik dan juga pakar perundangan serta wakil-wakil agensi negeri.
Dalam pada itu, Noraini mengucap tahniah kepada KDN atas tujuh lagi pindaan berkaitan kewarganegaraan yang akan diteruskan pembentangannya di Parlimen, terutama berkaitan anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia.
“Pindaan ini adalah sesuatu yang mencerminkan keadilan kerana selama ini hanya bapa warganegara Malaysia berhak menurunkan status warganegara bagi anak mereka yang dilahirkan di luar negara.- UTUSAN










