MELAKA: Penduduk Kampung Paya Rumput Jaya, Sungai Udang di sini panik selepas melihat kelibat seekor anak buaya tembaga berenang dalam Sungai Air Batu berhampiran kawasan penempatan mereka, semalam.
Reptilia dengan panjang lebih satu meter dan berat kira-kira 15 kilogram (kg) itu berjaya ditangkap oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dengan dibantu penduduk sekitar.
Pegawai Operasi, Latihan dan Logistik Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Melaka Tengah, Leftenan (PA) Mohd. Kamil Hassan memaklumkan, panggilan kecemasan diterima pada pukul 12.30 tengah hari dan pihaknya mengambil masa hampir tiga jam untuk menangkap haiwan berkenaan.
Beliau berkata, APM terpaksa menggunakan pam untuk mengeringkan air sungai berikutan buaya itu berada di dalam sungai.
“Kita berjaya menangkap anak buaya itu dengan bantuan orang awam kira-kira pukul 3.30 petang.
“Anggaran berat haiwan itu adalah 15 kg dan panjangnya lebih satu meter. Disebabkan ia berada dalam sungai, kita terpaksa menggunakan pam untuk menyedut air sungai terlebih dahulu sebelum melakukan tangkapan. Operasi berjalan lancar tiada sebarang kecederaan membabitkan anggota,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Mohd. Kamil, haiwan itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN










