Aman Palestin gagal cabar tindakan SPRM beku akaun

Aman Palestin gagal cabar tindakan SPRM beku akaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Aman Palestin gagal mencabar tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) membekukan 11 akaun bank miliknya berjumlah RM11.03 juta.

Ia selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh membenarkan bantahan pihak pendakwaan yang mewakili SPRM dan enam individu lagi. Mahkamah tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.

“Perkara ini telah diputuskan oleh mahkamah tertinggi negara dan mahkamah ini terikat dengan keputusan tersebut yang mana kuasa berkaitan dengan proses siasatan jenayah tidak boleh diputuskan melalui semakan kehakiman,” kata hakim itu.

Hakim Amarjeet menyatakan keputusan tersebut kepada pihak-pihak melalui emel.

Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly yang dibantu oleh Peguam Kanan Persekutuan, Nur Irmawatie Daud ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Turut mengesahkan perkara sama ialah peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Aman Palestin.

Pada 31 Januari lalu, pertubuhan terbabit selaku pemohon memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) membekukan 11 akaun bank miliknya berjumlah RM11.03 juta.

Selain SPRM, Aman Palestin menamakan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),Tan Sri Azam Baki; Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim; Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, dua pegawai agensi itu Mohd Afiq Mohammed Hassan dan Muhammad Zuhdi Mohd Yusoff serta kerajaan.

Berdasarkan afidavit yang difailkan, Aman Palestin antara lain mendakwa pembekuan tersebut adalah tidak sah, tidak munasabah, tidak rasional, salah guna undang-undang dan kuasa.

Mereka mendakwa tindakan pembekuan akaun oleh SPRM dilakukan dengan niat jahat serta merupakan satu percubaan untuk mengganggu kutipan dan penyaluran dana kepada penduduk di Gaza, Palestin.

Pertubuhan itu juga menyatakan, ekoran tindakan pembekuan tersebut, mereka tidak dapat membiayai kos pentadbiran dan operasi termasuk membayar gaji pekerja di samping kehilangan kepercayaan serta keyakinan orang ramai terhadap NGO itu.

Oleh itu, Aman Palestin memohon perintah certiorari bagi membatalkan perintah pembekuan bertarikh 24 November 2023 yang dikenakan ke atas 11 akaun bank milik pemohon.

Mereka turut memohon perintah mandamus agar SPRM menyahbeku wang berjumlah RM11,026,215.60 dengan serta-merta bagi tujuan perbelanjaan harian, penggajian pekerja-pekerja, pentadbiran, operasi dan misi-misi bantuan pemohon bagi tempoh tiga bulan ke hadapan.

Aman Palestin turut memohon deklarasi bahawa mereka berhak untuk terus mengumpul dana daripada orang awam dan seterusnya menyalurkannya secara terus kepada mangsa-mangsa perang di Gaza. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN