BAGAN DATUK: Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh, sudah memberi keterangan kepada polis berhubung isu ugutan bunuh yang diterimanya.
Beliau menjelaskan, polis turut memaklumkan kepada beliau bahawa suspek yang membuat ugutan tersebut juga sudah diambil keterangannya.
“Setakat hari ini, saya dan suspek sudah memberi keterangan kepada pihak polis.
“Saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan ini (ugutan) tidak akan membuatkan saya rasa gentar atau mengubah prinsip,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Santunan Kasih Ramadan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di Bangunan UMNO Bagan Datuk di sini hari ini.
Pada Selasa lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu hadir ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Jasin, Melaka, untuk membuat laporan polis susulan ugutan bunuh diterimanya.
Laporan dibuat susulan maklumat disampaikan seorang individu yang menghubunginya memaklumkan, bahawa dia terdengar perbualan berkenaan ugutan itu di sebuah premis.
Suspek telah diberkas tetapi dibebaskan dengan jaminan polis kerana mengalami masalah kesihatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu membuat ugutan jenayah.
Dalam pada itu, EXCO Kerajaan Melaka itu menganggap pemberian duit raya kepada 420 anggota polis di IPD Jasin bukan perbuatan rasuah kerana ia dilakukan secara terbuka dan mendapat kebenaran ketua jabatan iaitu Ketua Polis Daerah Jasin.
Beliau memaklumkan pemberian duit raya itu sudah menjadi amalannya setiap tahun ketika Ramadan dan sebelum menjadi wakil rakyat lagi, malah ia turut diberikan kepada kakitangan pejabat daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurutnya, berdasarkan peraturan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebarang pemberian wang di bawah RM100 perlu meminta keizinan dan melaporkannya kepada ketua jabatan agensi terlibat.
“Ia akan menjadi kesalahan jika diberikan kepada segelintir anggota polis dan secara senyap-senyap pula.
“Jika pemberian duit raya yang tidak sampai RM30 itu dianggap salah, maka selepas ini Ketua Menteri pun tidak boleh beri duit raya,” ujar beliau.
Beliau yang memuat naik pemberian duit raya itu dalam media sosialnya, menganggap program itu cuba dijadikan isu berdasarkan keadaannya yang sedang ‘panas’ sekarang disebabkan isu stoking kalimah Allah. – UTUSAN









