Akademi Qurra’ 2024, 5 peserta rebut gelaran juara - Utusan Malaysia

Akademi Qurra’ 2024, 5 peserta rebut gelaran juara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Separuh akhir program Akademi Qurra’ 2024 yang bersiaran secara langsung di TV AlHijrah Sabtu lalu menyaksikan penyingkiran dua peserta lelaki, Tilmiz Nabil dan Tilmiz Taufiq.

Penyingkiran itu sekali gus melayakkan lima lagi peserta terakhir berupaya mengejar peluang di pentas finale yang bakal bersiaran pada malam esok.

Peserta yang berjaya melangkah ke final ialah Tilmiz Luqman, Tilmiz Amnan, Tilmizah Sofea, Tilmizah Syahira, dan Tilmizah Sholihah.

Saingan separuh akhir menyaksikan kesemua peserta melakukan dua tugasan iaitu bacaan Al-Quran dan uji taranum.

Menariknya, Anugerah Alunan Terindah diberikan kepada peserta Tilmiz Luqman sekali gus menyaksikan kejayaan kali keduanya bagi anugerah itu.

Berkongsi mengenai potensi peserta, juri jemputan, Ustazah Rahmas Abdullah yang juga juara Tilawah Kebangsaan sebanyak tujuh kali tidak menolak bahawa kesemua peserta sebenarnya mempunyai kelebihan masing-masing selain gaya bacaan tersendiri.

Pada masa yang sama, Ustazah Rahmas menaruh harapan agar para finalis tidak putus semangat dan terus mencari nada suara yang betul dalam bacaan ayat suci Al-Quran sekali gus bersaing secara sihat dalam misi merangkul gelaran juara Akademi Qurra’ 2024.

“Kesemua peserta memiliki suara yang baik, cuma tenaga pengajar perlu mengajar teknik yang betul mengikut nada suara peserta. Bagi saya, setiap peserta perlu mencari alternatif bagaimana untuk ‘mencuit’ nada tertinggi dalam jawab-buljawab.

“Pada peringkat separuh akhir ini saya belum mengenal pasti peserta yang mencapai tahap terbaik. Mungkin atas faktor keseluruhan masa dan tekanan di atas pentas.

“ Lagipun proses seperti ini memakan masa yang panjang, tapi mereka diberi masa yang singkat untuk berlatih,”katanya.

Selain itu, kata Ustazah Rahmas, dalam melagukan tarannum,teknik bacaan juga perlu mempunyai kelunakan tanpa merosakkan tajwid dan sifat huruf.

“Pada peringkat akhir, setiap peserta perlu berpegang kepada tingkat suara dalam tarannum iaitu qoror, nawa, jawab dan jawab-buljawab.

“Selain itu, mereka juga perlu pandai mengolah lagu mengikut burdah-burdah yang ada dan mestilah ada kelunakan.

“Tajwid juga mesti sempurna dan sifat-sifat huruf dijaga serta dilontarkan dengan baik,”katanya.

Dalam pada itu, ketika ditemui Utusan Malaysia, Tilmizah Syahira meluahkan rasa syukur apabila meraih markah tertinggi pada peringkat separuh akhir Akademi Qurra’ 2024.

Malah, dia juga tidak menolak mula merasakan debarannya apabila terpilih untuk memasuki pentas akhir yang tentunya lebih memberikan cabaran buat kesemua peserta.

“Saya memang tidak sangka mendapat markah tertinggi kerana ketika latihan saya bukanlah yang terbaik.

“Apapun saya bersyukur dan anggap markah pada pentas separuh akhir ini sebagai motivasi untuk saya lakukan yang terbaik pada final,” katanya.

Menyentuh tentang tugasan untuk peringkat final, difahamkan, peserta akan melalui ujian tilawah, tadabbur dan duet tarannum bersama selebriti undangan.

Selain itu, terdapat kejutan buat peminat program ini apabila pihak produksi bakal menjemput tiga qari dan qariah legenda untuk mengalunkan ayat suci al-Quran sebagai salah satu persembahan.

Dihoskan oleh Raqib Majid, Akademi Qurra 2024 turut menampilkan Mudarris Ammar Mukhlis, Mudarrisah Suhailah Zulkifly dan Mudarrisah Nadia Hashim yang bertindak selaku tenaga pengajar.

Program yang ditayangkan pada setiap Sabtu jam 9 malam itu menampilkan juri tetap Ustazah Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Badiuzzaman dan Ustaz Muhammad Qayyim Nizar Sarim serta dibantu oleh Ustazah Rahmas Abdullah selaku juri jemputan pada minggu separuh akhir lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN