KUALA TERENGGANU: Seorang ahli perniagaan di negeri ini mengalami kerugian lebih RM200,000 selepas menjadi mangsa penipuan ‘Phone Scam’, minggu lalu.
Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan, mangsa berusia 47 tahun itu dihubungi suspek yang memperkenalkan diri sebagai pihak polis dan syarikat kurier pos.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek yang disyaki menyamar itu memaklumkan mangsa terlibat dengan penggubahan wang haram dan dadah.
Mangsa kemudian diarah bekerjasama iaitu dengan berkongsi maklumat perbankan, kata laluan dan memindahkan wang ke akaun yang diberikan suspek.
“Takut dikenakan tindakan, mangsa turut diminta menunggu sehingga ‘siasatan’ itu dijalankan selama tiga bulan sebelum boleh kembali menggunakan akaunnya.
“Mangsa hanya menyedari telah ditipu apabila memeriksa akaun banknya dan mendapati kehilangan RM202,400 menerusi 35 transaksi tanpa pengetahuannya.
“Mangsa yang berasa ditipu oleh suspek telah membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan (KK),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sementara itu Mazli memberitahu, sebanyak 114 laporan polis diterima berhubung jenayah komersial di negeri itu sejak 25 Februari lalu sehingga 2 Mac iaitu semalam.
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut 19 kertas siasatan dibuka membabitkan jumlah kerugian sehingga RM424,195.
“Orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dengan mana-mana individu tidak dikenali atau berkongsi maklumat peribadi termasuk perbankan.
“Sekiranya dihubungi pihak tidak dikenali, putuskan panggilan atau membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa bagi mengelak menjadi mangsa ‘scammer’,” jelasnya. – UTUSAN










