Agrofiesta Aidilfitri: FAMA sasar jualan RM1 juta di Pulau Pinang

Agrofiesta Aidilfitri: FAMA sasar jualan RM1 juta di Pulau Pinang

FAHMI Zainol (empat dari kiri) menyerahkan bantuan geran kepada para usahawan sempena program Agrofiesta Aidilfitri berlangsung di 1st Avenue Mall, George Town, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan nilai jualan keseluruhan sebanyak RM 1 juta sama ada melalui platform tunai atau dalam talian sepanjang berlangsungnya Agrofiesta Aidilfitri di dua lokasi berbeza iaitu di 1st Avenue Mall di sini dan Sunway Carnival Mall di Seberang Jaya.

Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, pihaknya yakin nilai sasaran itu akan berjaya dicapai sepanjang program berkenaan diadakan bermula 14 Mac lalu hingga 9 April depan.

“Kita sasarkan nilai jualan RM1 juta dalam tempoh hampir sebulan sepanjang musim perayaan ini dan saya rasa ia tidak ada masalah untuk dicapai.

“Ini kerana, program tahunan Agrofiesta Aidilfitri ini dianjurkan bagi memaksimumkan pendapatan golongan usahawan di seluruh Pulau Pinang dalam mempromosikan produk industri makanan yang terdiri daripada kuih-muih tradisional, biskut moden dan semua produk keperluan sempena Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menghadiri majlis perasmian Agrofiesta Aidilfitri di 1st Avenue Mall yang disempurnakan oleh Pengerusi Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol.

Turut berlangsung pada majlis yang sama ialah penyerahan bantuan projek Insentif dan Geran iaitu Geran Agrobazaar K-Shoppe, Geran Usahawan Perintis dan Bantuan Pembaikan Imej dan Pembungkusan Produk oleh FAMA kepada seramai 21 orang usahawan dengan nilai keseluruhan bantuan sebanyak RM200,750.

Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata, tahun ini merupakan tahun kelapan penganjuran Agrofiesta Aidilfitri dan sambutan yang diterima daripada kalangan para usahawan untuk menyertai program ini amat menggalakkan.

ABDUL RASHID Bahri (kanan) mengiringi Fahmi Zainol (dua dari kanan) merasmikan program Agrofiesta Aidilfitri berlangsung di 1st Avenue Mall, George Town, Pulau Pinang.-UTUSAN/SAFINA RAMLI

“Seramai 43 usahawan telah menyertai program pada tahun ini secara fizikal melibatkan pelbagai kluster seperti industri makanan, kraftangan, kosmetik serta pakaian.

“Pengunjung juga diberikan pilihan untuk membeli-belah secara dalam talian menerusi platform Agrobazaar Online yang menawarkan kupon diskaun bernilai RM10 bagi setiap pembelian RM30 ke atas,” katanya.

Tambah Abdul Rashid, refleksi daripada penganjuran program ini adalah dapat mengukuhkan hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan negeri untuk memartabatkan usahawan-usahawan tempatan dalam membantu memacu ekonomi mereka.

“Selain itu, kerjasama yang baik antara FAMA dan swasta (pasar raya) juga dilihat dapat membuka ruang dan peluang pasaran baharu kepada usahawan dalam memperkenal serta mempromosikan produk mereka ke segmen pasaran yang lebih luas,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×