4,429 penerima i-Sejahtera Pulau Pinang terima bayaran mulai 5 April ini

4,429 penerima i-Sejahtera Pulau Pinang terima bayaran mulai 5 April ini

LIM SIEW KHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seramai 4,429 penerima sumbangan menerusi program i-Sejahtera Fasa 2/2024 di negeri ini dijangka menerima bayaran masing-masing secara pemindahan dana elektronik (EFT) mulai 5 April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Lim Siew Khim berkata, pembayaran itu merangkumi seramai 3,260 penerima di bawah Program Penghargaan Warga Emas (PPWE), 133 penerima Program Bantuan Ibu Tunggal (PBIT) dan seramai 565 penerima PSE atau Program Suri Emas.

Katanya, turut menerima bayaran ialah seramai 471 penerima Program Bantuan OKU yang melibatkan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM816,000.

“Permohonan selepas tarikh 18 Mac 2024 akan menerima bantuan Program i-Sejahtera bagi Fasa 3/2024 dan rakyat boleh membuat pendaftaran program-program i-Sejahtera melalui laman web i-Sejahtera https://isejahtera.penang.gov.my.

“Pembayaran bagi Fasa 3/2024 hanya akan dibuat kepada pemohon baru yang mendaftar sebelum 30 Jun setiap tahun,” katanya di sini, hari ini.

Siew Khim berkata, rakyat boleh menyemak status pembayaran mulai 8 April ini secara berperingkat melalui laman web i-Sejahtera dan mereka juga digalakkan untuk menghubungi Pusat Khidmat Kerajaan Perpaduan yang berdekatan ubagi mendapatkan maklumat lanjut tentang semakan status pembayaran.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga menyeru pemohon supaya mengemas kini maklumat akaun bank masing-masing bagi memastikan penerimaan bantuan Program i-Sejahtera berjalan lancar pada Fasa 3/2024.

“Pemohon program PPWE, PBIT atau Program Bantuan OKU yang menghadapi masalah akaun bank boleh menggunakan akaun bank ahli keluarga, dengan syarat pemegang akaun bank tersebut didaftarkan sebagai waris yang sah dalam sistem i-Sejahtera.

“Penerima PSE juga diberikan pilihan supaya menggunakan akaun bank suami untuk menerima bantuan tahunan sebanyak RM100 mulai 15 Januari tahun ini,” kata beliau.

Tambah Siew Khim, kerajaan negeri selalu memantau dan mengambil berat tentang keperluan harian rakyat dengan tujuan untuk memastikan bantuan kebajikan yang disediakan dapat memberi manfaat kepada golongan masyarakat yang berlainan.

“Selain itu, kerajaan negeri juga komited untuk berusaha gigih dalam melindungi kebajikan rakyat Pulau Pinang dan sentiasa menambah baik dasar kebajikan negeri,” katanya yang memberitahu, rakyat juga boleh menghubungi Pegawai Unit i-Sejahtera melalui talian 04-650 5699/5700 atau hadir ke Tingkat 46, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pada hari bekerja iaitu antara pukul 9 pagi sehingga 5 petang untuk keterangan lanjut.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN