3,327 pekerja asing di Terengganu gagal verifikasi - Utusan Malaysia

3,327 pekerja asing di Terengganu gagal verifikasi

AZAHAR Abd. Hamid (tiga dari kiri) menerima cenderahati daripada Presiden Kawat, Ahmad Syafri Husnaini sempena majlis ramah mesra JIM Terengganu dan pengamal media di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seramai 3,528 daripada 6,855 pekerja asing yang didaftarkan di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK 2-0) di Terengganu membuat verifikasi melalui pengecaman sistem biometrik yang berakhir hari ini.

Serentak itu, status seramai 3,327 pekerja asing yang gagal berbuat demikian akan dianggap sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI) bermula esok.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Terengganu, Azhar Abd. Hamid berkata, melalui program RTK 2.0 yang tamat pada 31 Disember tahun lalu, seramai 712 majikan telah berdaftar di Terengganu melibatkan seramai 6,855 pekerja asing.

“Namun, hanya lebih separuh dari jumlah itu yang hadir ke JIM Terengganu untuk membuat pengesahan sistem biometrik dalam tempoh yang ditetapkan kerajaan.

“Tempoh pengesahan itu berakhir hari ini dan hanya 3,528 pekerja asing sahaja yang telah tampil bersama majikan mereka membuat pengesahan dalam sistem biometrik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan majlis beramah mesra dengan pengamal media Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat) di pejabat JIM Terengganu, di sini, hari ini.

Mengikut peraturan yang ditetapkan Kementerian Dalam Negeri, pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk pekerja yang gagal membuat pengesahan itu akan dihentikan pada 30 Jun depan.

“Majikan yang tidak datang membuat verifikasi pula adalah melakukan kesalahan menggajikan pekerja asing tanpa dokumen yang sah mengikut Akta Imigresen 1959/63.

“Sabit kesalahan, tindakan denda dan penjara akan diambil mengikut Seksyen 55B, Seksyen 55E dan Seksyen 56 (1) (d),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 598 PATI telah membuat permohonan untuk pulang secara sukarela ke negara asal mereka melalui Program Repatriasi Migran.

Azhar berkata, daripada 598 PATI tersebut, seramai 546 ialah pekerja lelaki, 45 perempuan dan tujuh kanak-kanak.

“Negara tertinggi PATI yang membuat permohonan ialah Indonesia, Bangladesh dan Nepal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN