2,623 mati akibat tibi tahun lalu

2,623 orang mati akibat penyakit tibi tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Negara mencatatkan peningkatan dua peratus jumlah kematian akibat penyakit tibi iaitu sebanyak 2,623 pada tahun lalu atau peningkatan 51 kes berbanding tahun sebelum.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, negara merekodkan peningkatan 1,390 kes penyakit tibi dengan jumlah keseluruhan sebanyak 26,781 yang menunjukkan kadar notifikasi bagi setiap 100,000 penduduk adalah sekitar 80.2 orang.

“Penyakit tibi masih menjadi salah satu beban penyakit utama di Malaysia. Statistik semasa penyakit tibi membimbangkan dan menjejaskan kualiti hidup rakyat.

“Dengan adanya rawatan yang boleh menyembuhkan penyakit tibi, usaha bagi mengesan awal dan memulakan rawatan secepat mungkin perlu ditingkatkan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam..

Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut sempena Hari Tibi Sedunia yang disambut semalam susulan penemuan bakteria Mycobacterium tuberculosis oleh Dr. Robert Koch pada 24 Mac 1882.

Tema bagi sambutan hari tersebut tahun ini adalah ‘Ya, Kita Boleh Hentikan Tibi!’ iaitu tema yang menyeru sokongan dan komitmen semua individu serta semua lapisan masyarakat bagi menggembeling pelbagai perkara demi menghentikan tibi di negara ini.

Dr. Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa berusaha bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kawalan penyakit tibi yang berkualiti serta lebih mesra pengguna.

“Antaranya, kaedah pengesanan penyakit tibi menggunakan teknologi terkini yang lebih tepat dan cepat sedang dilaksanakan secara berfasa dan pelaksanaan regim rawatan yang lebih pendek sedang diperhalusi.

“Selain itu, sebagai alternatif kepada pengambilan ubat tibi harian secara fizikal di klinik kesihatan dan kaedah maya telah dilaksanakan secara projek rintis mulai Julai 2023 melibatkan 27 buah klinik kesihatan terpilih di lima negeri, kaedah ini akan diperluaskan ke semua negeri pada tahun ini,” jelasnya.

Tambahnya, adalah menjadi inspirasi dan harapan negara agar tibi tidak lagi menjadi penyakit berjangkit dalam masyarakat menjelang 2035, selari dengan ‘Strategi Hentikan Tibi’ oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Untuk ini, komitmen yang tinggi dan kerjasama yang erat antara individu, masyarakat, serta pelbagai agensi adalah amat perlu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN