S AYA pernah dengar seorang pemikir dalam sebuah diskusi berkata semua orang boleh menjadi pintar.
Tapi tidak semua orang pintar boleh menjadi bijaksana. Kebijaksanaan memerlukan takah lain iaitu kemanusiaan, kecerdikan membaca suasana dan semestinya kejujuran.
Ini pertama kali saya menonton lem yang dibikin sutradara Vidhu Vinod Chopra walaupun naskhahnya sudah beberapa kali dicalonkan menerusi anugerah Oscar.
Hari ini, ketika menulis ulasan ini, saya sangat bersyukur kerana saya berjodoh dengan salah satu filemnya iaitu 12th Fail dalam cara yang paling indah.
Lebih kelakar, saya menonton lem ini selepas menerima panggilan telefon daripada seorang gura yang menawarkan sejumlah ‘sumbangan’ jika saya menulis berita tentangnya.

Panggilan itu saya putuskan serta merta kerana tersinggung. Entah kenapa orang-orang ini merasakan sangat mudah membeli seorang wartawan.
Filem ini sebenarnya ringkas sahaja jalan ceritanya. Tentang seorang jejaka, Manoj Kumar Sharma yang lahir dalam keluarga miskin di sebuah daerah yang dibelenggu dengan masalah rasuah dan kongsi gelap.
Semua orang hidup dalam penipuan sampai tahap tiada siapa pun yang tahu meniru ketika peperiksaan adalah satu kesalahan kerana disamarkan atas nama ‘tradisi’.
Bapa Manoj adalah revolusioner kerana menjadi orang pertama di tempat itu yang menentang rasuah. Namun dia diheret ke mahkamah dan hidup susah.
Sukar menentang benda yang sudah lama bersarang jika kita tiada kuasa. Kata orang, jika kita betul-betul mahukan sesuatu, semesta akan membantu kita mendapatkannya.
Duit Manoj dicuri sehingga melorongkannya menduduki peperiksaan IPS. Pangkat polis tinggi yang saya boleh ibaratkan seperti gelaran inspektor kalau di Malaysia.

Dalam tempoh itu, Manoj berhadapan banyak cabaran apalagi dia seorang budak miskin yang jalannya mencapai cita-cita sangat berbeza dengan anak orang kaya yang memang cukup makan dan pakainya.
Namun kesusahan, seperti yang dikatakan ahli falsafah tadi, akan membentuk kebijaksanaan yang sukar dimiliki orang-orang yang mudah mendapatkan sesuatu. Dengan jalan rasuah contohnya.
Walaupun jalan ceritanya mudah, namun lakonan Vikrant Massey yang sangat cemerlang berjaya menarik saya ke dalam dunia 12th Fail.
Saya ketawa, tersihir dan ketawa di setiap pergerakan babak. Babak kesukaan saya mungkin ketika Manoj mengadu kasutnya ketat ketika mahu hadir ke temu duga.
Melambangkan dia tidak berasa sesuai atau fit in di dalam tempat itu. Kemudian Manoj mengeluarkan kakinya dari kasut yang sempit itu dan masuk semula ke dalam ruangan temu duga dengan jayanya.
Usai menonton filem ini saya terngiang-ngiang kalimah jangan mengalah, restart, yang bergema dalam naskah ini.
Filem yang baik adalah naskhah yang membuat kita berasa sesuatu. 12th Fail ialah filem itu










