10,000 pinggan nasi dagang dihidang secara percuma - Utusan Malaysia

10,000 pinggan nasi dagang dihidang secara percuma

PENYELIA restoran NDAT Cawangan Bandar, Siti Aishah Mohd. Alkamal (berdiri) melayan pelanggan sempena pemberian nasi dagang percuma di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Sebanyak 10,000 pinggan makanan tradisional Terengganu, nasi dagang dihidangkan secara percuma di restoran Nasi Dagang Atas Tol (NDAT) dekat sini sempena sambutan Ramadan bermula pukul 6.30 pagi tadi.

Pemiliknya, Tuan Saidatul Jamilah Tuan Zainuddin berkata, hidangan percuma itu disediakan di kesemua empat cawangan restoran tersebut iaitu di Kampung Atas Tol, Padang Negara, Padang Hiliran dan Bandar.

Menurutnya, program tersebut telah memasuki tahun kelima diadakan sebagai tanda kesyukuran terhadap perniagaan yang semakin maju, selain memuliakan kedatangan Ramadan.

“Paling penting ialah restoran kami ingin meraikan kesetiaan pelanggan selama ini yang tidak putus-putus datang menyokong perniagaan di empat cawangan NDAT.

“Semoga Allah terus memberkati usaha kami untuk terus memperkasakan ekonomi umat Islam dengan menyediakan makanan yang enak dan halal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Selain nasi dagang yang menjadi tarikan utama di restoran NDAT, turut diserbu pelanggan ialah hidangan nasi minyak, nasi lemak, laksa, laksam dan kuih-muih.

“Selain sedikit kos yang pengurusan NDAT keluarkan, banyak juga pihak tertentu turut menaja pemberian makanan percuma ini terutama daripada pembekal barangan restoran.

“Begitu juga dengan kenalan saya, ramai juga yang memberi kuih dan sedikit sumbangan untuk sama-sama mendapatkan keberkatan dan kemuliaan Ramadan,” katanya.

Sementara itu, beberapa pelanggan yang ditemui mengakui mereka teruja dapat bersarapan percuma di restoran NDAT hari ini.

Seorang penjawat awam, Nur A’asyikin Abdul Aziz, 47, berkata, dia mendapat tahu mengenai makanan percuma itu dari Facebook rasmi NDAT dan datang bersama empat rakannya untuk menikmati nasi dagang percuma.

“Memang selalu datang ke NDAT sebab ini adalah antara restoran nasi dagang yang terkenal di Terengganu dan kalau ada saudara-saudara serta kenalan berkunjung pun, akan saya bawa ke sini,” katanya.

Seorang kakitangan swasta, Haneef Firdaus Abdul Halim, 34, pula berharap lebih ramai peniaga Islam akan mencontohi amalan bersedekah yang dilakukan NDAT kerana ia sangat bermakna untuk golongan susah dan memerlukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN