KUALA LUMPUR: Sejumlah 9,608 rakyat Malaysia rata-ratanya sudah menunggu selama 10 tahun untuk menerima organ baharu daripada penderma organ bagi meneruskan kehidupan mereka.
Setakat Januari lalu, daripada jumlah tersebut, sebanyak 99 peratus perlukan organ buah pinggang iaitu bersamaan 9,526 orang meliputi 9,102 dewasa dan 424 kanak-kanak manakala selebihnya masih menunggu jantung, paru-paru, hati dan lain-lain.
Meskipun 382,020 sudah berikrar menderma organ, sejak 1997 hanya 883 orang atau bersamaan 0.002 peratus yang benar-benar berbuat demikian selepas meninggal dunia.
Timbalan Pengarah Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC), Dr. Hasdy Haron berkata, walaupun lebih 300,000 sudah mendaftar sebagai pengikrar menderma organ, tidak semuanya boleh menjadi penderma.
Ini kerana jelasnya, mungkin hanya sebahagian kecil daripada mereka sudah meninggal dunia dan kekangan mendapat kebenaran waris.
“Sebenarnya rata-rata yang berlaku, ada waris-waris keluarga yang tidak memberi keizinan, itu satu cabaran yang sangat besar.
“Jadi, bila kami mengadakan kempen untuk kesedaran awam, sesiapa yang berdaftar, kita ingatkan mereka supaya memaklumkan kepada keluarga. Jika mereka tidak memberitahu keluarga, memang agak sukar untuk pihak hospital nak mendapatkan kebenaran,” katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di sini, kelmarin.

Menurut Dr. Hasdy, majoriti organ yang diperlukan adalah buah pinggang berpunca daripada jumlah tinggi pesakit diabetes di negara ini.
“Buah pinggang ini boleh dikatakan organ paling kritikal sekarang. Tapi sebenarnya organ lain seperti jantung walaupun jumlahnya sedikit tapi kritikal juga kerana kalau tidak dapat transplan, pesakit akan meninggal dunia.
“Itu sahaja transplan sebagai alternatifnya, tidak ada pilihan lain. Kalau tiada transplan, kesihatan pesakit akan merosot dan boleh menemui ajal. Bayangkan, kalau mereka tidak dapat organ baharu. Jadi, semua organ boleh dikira sebagai kritikal,” katanya
Dr, Hasdy berkata, masyarakat di negara ini mudah mendapat penyakit buah pinggang kerana kadar yang tinggi menghidap diabetes dan hipertensi menyebabkan pesakit kronik semakin meningkat.
“Selalunya untuk transplan sudah penghujung rawatan, sebab itu Kementerian Kesihatan sangat tekankan pencegahan. Jaga pemakanan dan jangan makan ubat yang tidak diiktiraf dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN










