ALOR SETAR: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menetapkan tiga kadar zakat fitrah iaitu RM7, RM14.50 dan RM22 bagi tahun ini yang menyaksikan peningkatan antara 50 sen hingga RM1 bagi beras import.
Pengerusinya, Datuk Seri Norizan Khazali berkata, penetapan harga berdasarkan kepada harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di Kedah pada kadar timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram (kg).
“Semua umat Islam digalakkan menunaikan zakat fitrah mengikut jenis beras yang menjadi kebiasaan makanan setiap hari misalnya RM7 untuk umat Islam di Kedah yang menjadikan makanan hariannya beras jenis super spesial tempatan (5 peratus hancur) dan setaraf dengannya.
“Keseluruhan penetapan kadar ini berasaskan harga yang diberikan oleh pihak Kawal Selia Padi dan Beras Negara, jadi seluruh negeri akan merujuk kepada harga yang ditetapkan oleh pihak berkenaan. Kenaikan antara 50 sen hingga RM1 itu adalah berdasarkan harga pasaran beras import,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pengumuman prestasi keseluruhan kutipan dan agihan zakat bagi 2023 dan penetapan kadar zakat fitrah bagi 2024.
Tambahnya, untuk 2024, LZNK meletakkan sasaran kutipan zakat fitrah sebanyak RM12.65 juta berbanding kutipan tahun lalu sebanyak RM12.05 juta.
Tambah beliau, bagi tujuan memudahkan orang ramai, LZNK juga menyediakan sebanyak 24 saluran bayaran secara dalam talian untuk menunaikan zakat fitrah pada tahun ini termasuk tiga portal dan aplikasi rasmi LZNK iaitu Portal Jom Zakat, aplikasi Zakat On Touch, dan MyAmil.
“Selain itu 13 platform Perbankan Internet seperti Maybank2u, CIMB Clicks, Bank Islam Go dan lain-lain lagi,” katanya.
Tambahnya, sebanyak 2,707 orang amil yang dilantik LZNK di seluruh Kedah yang akan menggunakan kaedah digital sepenuhnya bagi menerima pembayaran zakat fitrah.
“Pembayaran secara bersemuka adalah menggunakan Sistem MyAmil selain memaparkan kod QR untuk diimbas pembayar atau berkongsi pautan pembayaran melalui WhatsApp atau medium perhubungan yang lain kepada pembayar untuk diakses bagi membuat pembayaran,” katanya. -UTUSAN










