BESUT: Seorang warga Rohingya menggunakan kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) palsu untuk mengelak daripada dicekup penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia Terengganu.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Terengganu, Azhar Abd. Hamid berkata, lelaki berusia 20an itu ditahan dalam Op Kutip dan Op Belanja di sekitar daerah ini, semalam.
“Kita dapati kad UNHCR tersebut seolah-olah asli, tetapi apabila kita scan barcode data yang diperolehi mendapati kad tersebut milik seorang wanita sedangkan pemegangnya adalah lelaki etnik Rohingya.
“Hasil siasatan awal kita mendapati, warga asing tersebut membeli dokumen tersebut pada harga RM150 daripada seorang rakannya yang tinggal di Johor Bahru,” katanya.
Beliau berkata ketika ditemui selepas Op Kutip dan Op Belanja yang dijalankan pada semalam di sekitar daerah ini, di sini, semalam.
Beliau memberitahu, tangkapan tersebut merupakan kes pertama penggunaan dokumen diri palsu oleh warga asing pada tahun ini.
Katanya, lelaki berkenaan telah ditahan dan dokumen itu turut dirampas oleh pihak penguatkuasa.
Selain itu, tambahnya, seramai 154 warga asing telah diperiksa dan 25 orang daripadanya ditahan dalam operasi tersebut.
Katanya, mereka ditahan selepas melakukan
Kesalahan di bawah Akta Imigresen iaitu Seksyen 6(1)(c) tiada dokumen pengenalan diri, serta seksyen 15 (1) (c) tinggal lebih masa dan Peraturan 39 (b) melanggar syarat pas. – UTUSAN










