PUTRAJAYA: Seorang bekas mudir sebuah tahfiz di Machang, Kelantan yang juga digelar ‘Ustaz Budak’ kekal menjalani hukuman penjara 13 bulan kerana melakukan kelucahan melampau dengan mencium pipi seorang ahli perniagaan lelaki di sebuah hotel, empat tahun lalu.
Perkara itu ditentukan selepas Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Syamsul Zaman Sukri, 36, yang juga seorang pendakwah bebas untuk mendapat kebenaran merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan sabitan dan hukuman itu terhadapnya.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin sebulat suara memutuskan permohonan bekas mudir tahfiz itu tiada merit.
Mengikut pertuduhan itu, Syamsul Zaman didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap seorang ahli perniagaan lelaki ketika itu berusia 30 tahun dengan cara mencium pipinya di sebuah hotel di Kota Bharu pada pukul 1.15 pagi pada 16 Disember 2020.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri yang mewakili Syamsul Zaman berhujah, wujud percanggahan yang material berhubung masa kejadian kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan secara tepat masa kejadian berlaku.
Hujah beliau, keterangan pendakwaan menyatakan masa kejadian pada 1.15 pagi, walhal mangsa yang juga pengadu kes dalam laporan polisnya menyebut ketika itu (1.15 pagi) dia baru tiba bersama-sama pemohon di pekarangan hotel berkenaan.
Pihak pembelaan turut menghujahkan, seorang lagi saksi pendakwaan secara spesifik menyatakan bahawa pengadu tidak berada dalam bilik bernombor 201 hotel itu seperti mana yang dinyatakan dalam pertuduhan.
Bagaimanapun, Hakim Hadhariah mencelah dengan menyatakan, isu berkaitan masa kejadian adalah fakta, bukan dikategorikan sebagai persoalan undang-undang yang sepatutnya dibangkitkan dalam permohonan kebenaran merayu.
Untuk rekod, rayuan bagi kes-kes yang bermula di Mahkamah Majistret pada dasarnya berakhir di peringkat Mahkamah Tinggi. Bagaimanapun, perayu boleh mengemukakan rayuan sehingga ke Mahkamah Rayuan namun perlu mendapat kebenaran panel bersidang dengan mengemukakan persoalan undang-undang.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Noorhisham Mohd. Jaafar, elemen yang penting adalah perlakuan seksual dan identiti pelakunya dan ia telah dipertimbangkan oleh majistret yang mencapai dapatan bahawa percanggahan berkaitan masa tidak bersifat material.
Hujah pendakwaan, pemohon mengaku berada di tempat kejadian namun menafikan perbuatan itu yang mana ia terjumlah kepada penafian semata-mata.
Syamsul Zaman memohon kebenaran merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kelantan yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 13 bulan kerana melakukan kelucahan melampau dengan mencium pipi ahli perniagaan yang juga pemilik hotel.
Pada 21 November 2023, Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd. Abbas selepas menolak rayuan pendakwah itu dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara serta merta.
Kata beliau, tujuh perkara yang dibangkitkan oleh perayu termasuk mendakwa keterangan mangsa tidak boleh diyakini kerana isu percanggahan waktu namun mahkamah mendapati setiap individu mempunyai tahap ingatan yang berbeza dan perkara itu tidak menjejaskan pendakwaan dalam kes berkenaan.
“Perayu juga timbulkan isu bahawa pihak pendakwaan gagal buktikan mens rea (niat utk melakukan jenayah) dalam kes ini, tetapi berdasarkan alasan penghakiman Mahkamah Majistret dan nota keterangan menunjukkan bahawa adanya tindakan serta niat daripada perayu kepada mangsa,” ujar hakim itu.
Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan dan berpendapat hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret pada 9 Mac 2023 adalah tepat serta berpatutan.
Sebelum ini, ‘Ustaz Budak’ itu dihadapkan ke beberapa mahkamah di Kelantan melebihi 10 kes melibatkan jenayah seksual terhadap beberapa mangsa lelaki termasuk bekas pelajarnya.
ends.










