ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berharap tiada lagi pihak mempolitikkan isu tunggakan gaji pemain Kedah Darul Aman (KDA FC) dengan mengaitkan pihaknya terutama Presiden badan induk bola sepak negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Media dan Perhubungan Awam KFA, Ibrahim Ismail berkata, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang juga Menteri Besar Kedah tidak lagi mempunyai kawalan terhadap KDA FC susulan langkah penswastaan yang dibuat.
Menurutnya, tuduhan kononnya KFA culas membayar gaji pemain dan pengurusan pasukan merupakan satu tuduhan berat memandangkan pemisahan antara KFA dan KDA FC sudah dilakukan sejak awal tahun 2020.
“Mulai tahun 2020 proses pemisahan pasukan Liga Super Kedah bermula dan 24 September 2020, Darulaman Football Club Sdn. Bhd. diperbadankan oleh KFA bagi memenuhi ketetapan badan induk bola sepak negara.
“Pemisahan secara keseluruhan antara KFA dan KDA FC bermula tahun 2022, KFA melepaskan semua dan tidak lagi memegang pemilikan saham dalam kelab bola sepak.
“Sebaliknya, nama-nama pengasas iaitu Khamal Idris Ali, Radhi Mat Din dan Zulkifli Che Haron masih belum berubah kerana ketiadaan pemilik yang sanggup, sekali gus (mereka) memiliki KDA FC kecuali Tan Sri Mohd. Daud Bakar yang memegang majoriti saham ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan isu tunggakan gaji pemain Liga Super dan skuad KDA FC B yang dikatakan tidak dibayar sehingga empat bulan sebelum disusuli dengan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KDA FC, Khamal Idris Ali.
Pada 5 Januari lalu, arena bola sepak Kedah dikejutkan dengan penahanan empat lelaki termasuk Zulkifli yang merupakan CEO KFA oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta serta menerima wang rasuah lebih RM6 juta, empat tahun lalu.
Sementara itu, Ibrahim berkata, KFA kini komited untuk melihat kemandirian KDA FC tanpa perlu bergantung kepada dana kerajaan.
“Semua keputusan pasukan adalah di bawah tanggungjawab pengurusan tertinggi KDA FC. Tambahan pula, tersebarnya tindakan SPRM terhadap pengurusan tertinggi bola Sepak kedah, telah memberi kesan terus kepada penajaan pasukan.
“Beliau (Muhammad Sanusi) tidak mempunyai kawalan ke atas KDA FC. Semua keputusan yang diambil oleh pengurusan KDA FC dipercayai atas faktor komersial dan sustainabiliti,” katanya.
Justeru, Ibrahim menegaskan individu yang menuduh KFA culas atau gagal membayar gaji pemain KDA FC untuk segera membuat permohonan maaf secara terbuka sebelum tindakan diambil. -UTUSAN










