ALOR SETAR: Tiga lagi individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk menipu bagi mengurangkan cukai kereta import mewah di Langkawi.
Ketiga-tiga tertuduh, Ong Seng Aun, 59; Hoo Zui Bok, 47, dan Ooi Liang Sheng, 36, masing-masing mengaku bersalah setelah pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Hakim kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 ke atas Seng Aun dan Zui Bok yang masing-masing menghadapi satu pertuduhan, sementara RM10,000 ke atas Liang Sheng yang mengaku bersalah di atas enam pertuduhan.
Mengikut pertuduhan, Seng Aun didakwa menggunakan dokumen palsu bagi mengurangkan duti import sebuah kereta Ferrari seorang individu yang bukan bermastautin di pulau berkenaan.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh yang juga pemilik syarikat automotif yang menguruskan pendaftaran kereta import Langkawi di Pejabat Kastam Daerah Langkawi di Bukit Malut pada 2 Oktober 2021.
Zui Bok yang juga pemilik syarikat menyelenggara dan menjaga kereta mewah import turut didakwa bagi kesalahan sama bertujuan untuk menipu bagi mengurangkan duti import sebuah kereta Ferrari di Kompleks Dermaga Tanjung Lembung, Ulu Melaka.
Liang Sheng yang juga pemilik syarikat berkaitan kereta mewah dan runner itu pula didakwa atas enam kesalahan memalsukan dokumen untuk menipu antara November 2018 hingga Oktober 2021.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Nurul Atiqah Mohamad Alias dan Pegawai Pendakwa SPRM, Muhamad Taufik Awaludin mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
Sementara Seng Aun dan Liang Sheng diwakili peguam, Mohd. Hakim Hamran dan Zui Bok pula oleh peguam, R. Sheshalini. -UTUSAN










