GURUN: Tiga anggota tentera maut dalam kemalangan membabitkan tiga trak pasukan keselamatan itu dengan sebuah lori di Kilometer 77.5 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara selepas Gurun, dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 pagi itu, ketiga-tiga mangsa berusia lingkungan 30-an hingga 40-an terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Fauzi Razali memberitahu, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 10.22 pagi tadi.
“Sebaik tiba di lokasi, kita mendapati kemalangan melibatkan tiga trak tentera lima tan dan sebuah lori Isuzu.
“Tiga lelaki iaitu anggota tentera meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori berusia 31 tahun yang cedera termasuk pada kepala berjaya dikeluarkan seterusnya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan,” katanya di sini hari ini.
Difahamkan kejadian berlaku melibatkan konvoi tiga trak tentera yang berhenti di tepi jalan dipercayai salah sebuah kenderaan tersebut mengalami kerosakan.
Tiga pemandu yang turun dari kenderaan masing-masing itu kemudian dilanggar lori tersebut.
Sementara itu, menerusi video dan gambar yang tular di media sosial, terdapat beberapa anggota tentera yang mengalami kecederaan terbaring dan menerima bantuan kecemasan daripada anggota bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Selain itu, kelihatan seorang anggota tentera tidak sedarkan diri di bawah trak tentera. -UTUSAN










