“SAYA tidak tahu apakah yang sedang saya rasakan.” Demikian luahan penyanyi, Wany Hasrita, menceritakan situasi yang dialaminya belakangan ini.
Anak jati Kuala Lumpur ini tiba-tiba hilang semangat untuk melakukan apa-apa. Kalau hendak kata tertekan, kemurungan atau lesu, Wany tidak pula rasa sebegitu.
Sekadar mahu berehat sahaja dan bermalasan di hadapan televisyen. Sepanjang kerjaya, penyanyi Menahan Rindu itu hanya memuat naik perkara yang indah-indah sahaja di media sosial.
Bagi Wany atau Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 32, media sosial adalah dokumentasi karier yang dimuat naik untuk tatapan peminat dan juga rakan industri.
Namun buat pertama kali, Wany berkongsi fasa ‘mencabar’ yang dilaluinya, menceritakan dia hanya mahu berehat selain sering makan makanan bergula seperti coklat. Pendek kata, dia sendiri sedar ada yang tidak kena dengan dirinya.
“Saya tak tahu mengapa rasa begini. Pulang dari kerja, saya hanya ingin makan makanan manis, bermalasan di depan televisyen, tidak bersenam sehingga berat badan saya naik sehingga 59 kilogram.
“Bukan itu sahaja, hendak buat rutin kecantikan diri pun malas sehingga wajah menjadi kusam. Saya tidak pernah menceritakan perkara ini kepada sesiapa.
“Sehingga beberapa hari lalu saya ambil keputusan untuk bercerita mengenai hal ini di media sosial. Tak sangka ramai yang komen. Rakan artis juga ada yang mesej menceritakan itu perkara normal yang dilalui individu bergelar ibu,” katanya kepada Hits.
Fasa itu dilalui Wany Hasrita berminggu-minggu sehingga ditegur oleh ibunya yang kebetulan tinggal serumah dengannya.
“Saya sedar keadaan sudah semakin teruk apabila ia sudah mula ‘mengganggu’ kehidupan harian saya.
“Jadi, saya perlahan-lahan cuba kembali aktif namun ia tidak mudah.
“Saya mula ambil kelas tinju, bersenam, dan mengaji. Bukan itu sahaja, saya juga daftarkan anak saya ke kelas berenang. “Mungkin saya tidak boleh duduk sahaja di rumah,” tambahnya.

TIDAK SANGKA LOLOS ANUGERAH JUARA LAGU (AJL) KE-38
Sekali lagi lolos ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) bersama Datuk Jamal Abdillah, Wany tidak menyangka lagu Kucuma ciptaan Ezra Kong berjaya menambat hati juri.
“Sejujurnya saya terkejut kerana berjaya mara ke final. Mungkin lagu Kucuma memiliki melodi dan susunan muzik yang moden selain vokal Datuk Jamal yang memang gemersik.
“Semua lagu yang tercalon sangat hebat termasuklah melodi dan vokal.
“Soal pencabar terdekat, saya hanya ingin bertanding dengan diri sendiri sahaja. Saya tidak terlalu memikirkannya dan hanya mahu bawakan lagu Ezra Kong di atas pentas dengan baik,” tambahnya.
Masih dalam perancangan untuk memilih konsep yang bakal dibawakan, namun Wany berjanji akan membuat persembahan terbaik untuk AJL 38 nanti.
“Konsep masih dalam perbincangan tapi rasanya tiada unsur tradisional. Kalau ikut hati saya mahu penuhkan pentas, namun perlu fikirkan juga dari aspek kos.
“Saya agak gemuruh, walaupun sudah biasa membuat persembahan dengan Datuk Jamal. Apapun, saya enggan ambil ringan tentang AJL kali ini,” tambahnya.










