KUALA LUMPUR: Pemimpin kanan DAP menafikan cakap-cakap bahawa parti itu cuba ‘mendiamkan’ wakil-wakil rakyatnya daripada bersuara tentang isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini meringkuk di penjara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong berkata, sebarang dakwaan yang tersebar mengatakan DAP melarang ahlinya mengulas isu Najib tidak benar.
Bagaimanapun, ahli Parlimen Iskandar Puteri itu tidak mengulas lanjut mengenai penafiannya kemudian beredar meninggalkan pemberita.
“Tidak betul,” katanya ringkas ketika ditemui semasa menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini sudah beberapa kali mendapatkan maklum balas daripada pemimpin-pemimpin DAP berhubung isu Najib, memandangkan parti itu yang sebelum ini dilihat lantang melawan Najib semasa pentadbirannya.
Bagaimanapun, rata-ratanya enggan memberi maklum balas sewajarnya kepada media.
Hanya terdapat dua ahli DAP yang bersuara mengenai isu Najib yang juga merupakan bekas Ahli Parlimen iaitu Dr. Ong Kian Ming (Bangi) dan Tony Pua Kiam Wee (Damansara).
Pada 5 Februari lalu, Kian Ming dilaporkan mengesa pemimpin-pemimpin DAP menyatakan pendirian mereka semula secara jelas terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau berkata, DAP tidak seharusnya secara terus mengambil pendekatan berdiam diri dalam beberapa isu penting.
Katanya, pengurangan hukuman dihadapi Najib berkemungkinan disebabkan kompromi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menenangkan penyokong bekas Perdana Menteri keenam tersebut.
Kian Ming sebelum ini tampil mempertahan Tony Pua yang ketika ini disiasat kerana didakwa menghasut berhubung kenyataan merujuk keputusan pengampunan meringankan hukuman Najib dalam kes SRC International.
Pada 7 Februari lalu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata, DAP tidak pernah lupa akan pendirian parti itu berhubung skandal 1MDB melibatkan Najib.
Katanya, pendirian DAP mengenai isu tersebut tidak pernah berganjak malah sentiasa jelas.
Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum ini bersetuju mengurangkan hukuman dan denda yang dikenakan terhadap Najib.
Lembaga tersebut mengesahkan hukuman penjara bekas Presiden UMNO itu dikurangkan dari 12 ke enam tahun dan denda perlu dibayar pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – UTUSAN










