KUALA LUMPUR: Pelakon, Mierul Aiman, menafikan dakwaan mengaitkan dia sedang menjalinkan hubungan istimewa dengan cucu seorang kenamaan.
Mierul atau Mohammad Amirul Aiman Norazman, 26, yang terkejut dengan dakwaan tersebut memaklumkan dia terbuka untuk berkawan dengan sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang individu tersebut.
“Saya betul-betul terkejut dengan dakwaan itu. Saya berkawan dengan semua orang tapi tidak pernah pula selidik mereka anak sesiapa.
“Saya berkenalan dengan sesiapa sahaja. Saya berpegang kepada prinsip berbudi kepada semua orang. Kita buat baik untuk dibalas baik,” katanya.
Mierul ditemui Utusan Malaysia di lokasi penggambaran drama bersiri Project: Exit, di ibu kota.
Tegas anak sulung dari tiga beradik itu lagi, dia masih solo dan akan berkongsi kepada umum sekiranya sudah berpunya.
“Jujur saya cakap, setakat ini tiada yang istimewa. Tak tahulah jika ada yang terluka dengan kenyataan ini. Sekarang saya hanya fokus kepada skrip, kerjaya dan keluarga.
“Saya tak rahsiakan apa-apa. Kalau ada rezeki atau jodoh sampai awal, saya akan kongsikan,” kongsinya.
Sebelum ini, timbul desas desus kononnya Mierul sedang menjalin hubungan istimewa dengan seorang gadis yang juga merupakan cucu kepada seorang VVIP.
Dalam perkembangan lain, Mierul bakal tampil menerusi drama terbitan Astro Shaw, Project: Exit yang mengangkat isu sosial di asrama pemulihan akhlak.
Drama enam episod ini turut dijayakan Naim Daniel, Shasha Abedul, Kimberly Chuah dan Nabila Huda.










