TEMERLOH: Padah melakukan rompakan terhadap dua mangsa di Mentakab, seorang lelaki berusia 49 tahun terpaksa beraya dalam penjara menjelang Tahun Baharu China apabila dijatuhkan hukuman penjara 11 tahun dan satu sebatan di Mahkamah Sesyen Temerloh hari ini.
Tertuduh, Chin Fang Fung, 49, membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh telah merompak beg dompet milik seorang wanita berusia 57 tahun mengandungi kad pengenalan, kad ATM Maybank, lesen memandu kelas D, wang tunai kira-kira RM150 dan telefon bimbit jenis Samsung Galaxy AS02S di hadapan sebuah rumah di Jalan Bahagia 3, Taman Bahagia Makmur di sini pada jam 2.50 petang, 31 Januari lalu.
Berikutan itu, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman lima tahun penjara dari tarikh dia ditangkap.
Pertuduhan kedua, tertuduh pada tarikh sama, kira-kira jam 1.19 petang bersama seorang lagi yang masih bebas telah melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita berusia 39 tahun bertempat di sebuah rumah di Jalan Bendera 12, Taman Bukit Bendera dekat Mentakab di sini.
Tertuduh merompak beg tangan dan membawa lari beg tangan wanita tersebut dengan sengaja menyebabkan cedera atau ketakutan pada wanita terbabit.
Berikutan itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama dan dijatuhkan hukuman enam tahun penjara dari tarikh dia ditangkap dan satu sebatan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afidatul Azwa Kamarul Anuar manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN










