PETALING JAYA: Pas mungkin akan meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana parti itu tidak pernah konsisten dalam ‘persahabatan’.
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mendakwa, perkara itu pernah berlaku kepada DAP dan UMNO sebelum ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau menjangkakan Pas akan meninggalkan Bersatu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Katanya, Pas berasakan mereka lebih kuat dengan majoriti ahli Parlimennya melebihi Bersatu dan menguasai empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
“Kekuatan itu tidak ada pada Bersatu malah terpaksa bergantung kepada kekuatan Pas yang memiliki jentera pilihan raya, akar umbi dan lain-lain. Mereka sentiasa bertukar-tukar pasangan setiap kali pilihan raya umum.
“Jadi tak mengejutkan jika Pas membuat keputusan untuk meninggalkan Bersatu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata, Ahli Parlimen Bersatu yang masih berbaki juga terpaksa mengharapkan peruntukan daripada kerajaan negeri dipimpin oleh Pas namun tidak diberikan kerana parti tersebut ada pendiriannya tersendiri.
“Itulah antara punca mengapa saya menyeru semua Ahli Parlimen Bersatu untuk berfikir panjang dan membuat keputusan segera menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jika Ahli Parlimen Bersatu yang sudah berfikir untuk memberi sokongan kepada Perdana Menteri, umumkan secara berkelompok supaya kelihatan lebih tegas dan ‘solid’,” katanya.
Sebelum ini, enam Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan terhadap Anwar iaitu Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz; Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi.
Syed Abu Hussin Hafiz sebelum ini mendedahkan bahawa 10 lagi Ahli Parlimen Bersatu dijangka mengisytiharkan sokongan kepada Anwar menjelang Sidang Dewan Rakyat yang bermula pada 26 Februari ini.
Menurutnya, Ahli Parlimen tersebut terdiri daripada lima orang dari zon utara iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perak; tiga dari pantai timur dan tiga lagi dari Selangor serta Melaka. – UTUSAN











