Suntikan vaksin HPV bantu menoktahkan kanser serviks - Utusan Malaysia

Suntikan vaksin HPV bantu menoktahkan kanser serviks

WAN Azizah Wan Ismail (kiri) mengiringi Tuanku Zara Salim pada Program Vaksinasi HPV 'Tanpa Meninggalkan Sesiapa Pun' di Dewan Serbaguna Bandar Baru Tambun di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pengambilan suntikan vaksin Human Pappiloma Virus atau HPV dalam kalangan wanita dapat membantu menoktahkan penyakit kanser serviks di negara ini, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Isteri Perdana Menteri itu berkata, pencegahan awal menerusi suntikan HPV boleh mengurangkan sehingga 90 peratus risiko kanser serviks yang kerap berlaku kepada golongan berkenaan.

“Kanser serviks bukanlah satu perkara yang asing. Di Malaysia, kanser serviks adalah kanser ketiga paling kerap dalam kalangan wanita.

“Kira-kira 95 peratus daripada kanser serviks ini adalah disebabkan jangkitan HPV. Bukan itu sahaja, HPV juga boleh menyebabkan kanser-kanser lain seperti kanser pangkal hidung, kanser tonsil, kanser zakar dan kanser faraj.

“Di sinilah vaksin HPV memainkan peranannya dalam menoktahkan kanser serviks di mana ia boleh dikurangkan sehingga 90 peratus,” katanya.

Beliau berucap pada Program Vaksinasi HPV ‘Tanpa Meninggalkan Sesiapa Pun’ di Dewan Serbaguna Bandar Baru Tambun, di sini hari ini.

Program peringkat kebangsaan itu dilancarkan oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Menurut Wan Azizah, dalam usaha menoktahkan kanser serviks, pelbagai pihak bukan sahaja perlu bekerjasama rapat, malah semua industri di dalam negara juga berupaya menyumbang tenaga dengan cara tersendiri.

Sebagai contoh katanya, Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dengan 16 syarikat ahlinya secara kolektif telah memberi sumbangan sebanyak RM3 juta kepada program vaksinasi HPV.

Katanya, sumbangan itu bertujuan menampung sebahagian kos pentadbiran sepanjang program vaksinasi itu dijalankan di seluruh negara.

“Program vaksinasi HPV ini wajar disokong sepenuhnya tanpa mengira latar belakang.

“Orang ramai boleh membantu merealisasikan impian menoktahkan kanser serviks ini dengan menyumbang secara terus kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM),” katanya.

Program vaksinasi HPV merupakan program vaksinasi percuma yang sedang dijalankan di seluruh negara melibatkan pemvaksinan 300,000 dos vaksin bernilai RM90 juta.

Di Parlimen Tambun, kira-kira 500 wanita dan remaja perempuan berusia 13 hingga 20 tahun menerima suntikan tersebut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN