SHAH ALAM: Selangor dikenal pasti menyimpan bahan batuan dan mineral bernilai tinggi yang sesuai untuk digali apabila harga kedua-dua hasil bumi itu didakwa menunjukkan peningkatan drastik di pasaran.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan, Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) membuat takrifan semula terhadap kedua-dua bahan tersebut yang berpotensi memberikan kadar royalti lebih tinggi.
Baginda menjelaskan, ia selaras dengan kadar yang ditetapkan melalui Enakmen Mineral Negeri Selangor dan juga pekeliling yang sedang berkuatkuasa.
“PTGS akan membuat pentakrifan semula bagi jenis-jenis bahan batuan dan mineral memandangkan nilai bagi kedua-dua bahan tersebut telah menunjukkan peningkatan yang drastik di pasaran.
“Pentakrifan ini akan melibatkan kadar royalti yang lebih tinggi selaras dengan kadar yang telah ditetapkan melalui Enakmen Mineral Negeri Selangor dan juga pekeliling-pekeliling yang masih berkuatkuasa,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Sidang Dewan Negeri Selangor Ke-15, hari ini.
Sultan Sharafuddin menambah, baginda mengalu-alukan inisiatif melalui PTGS serta pejabat daerah dan tanah (PDT) di seluruh negeri yang membangunkan Sistem e-Tanah Selangor selepas pelancarannya pada Oktober tahun lalu.
Jelas baginda, penambahbaikan sistem tadbir urus tanah yang telus akan memberikan impak positif signifikan kepada semua pihak terlibat.
Dalam pada itu, Sultan Selangor turut menitahkan Rancangan Selangor Pertama (RS1) dilaksanakan mengikut garis masa yang ditetapkan supaya semua program yang dirancang tidak tertangguh lama.
Kata baginda, program berimpak tinggi khususnya pembangunan wilayah ekonomi baharu, inisiatif ekonomi baharu perlu dilaksanakan bagi menarik lebih ramai pelabur dari dalam dan luar negara untuk melabur di negeri itu.
“Ekonomi Selangor dianggarkan tumbuh dengan kadar 4.1 peratus pada tahun 2023 dan diunjurkan berkembang secara konsisten pada tahun 2024 dengan kadar 5.2 peratus.
“Sektor perkhidmatan akan terus menjana pertumbuhan dan sektor pembinaan juga dijangka tumbuh dengan pantas berbanding sektor lain,” ujarnya. – UTUSAN










