Sultan Selangor ingatkan penjawat awam jangan malas, lalai - Utusan Malaysia

Sultan Selangor ingatkan penjawat awam jangan malas, lalai

Penjawat awam Selangor
SULTAN Sharafuddin Idris Shah bertitah pada Pembukaan Penggal Ke Dua Sidang Dewan Negeri Selangor Ke-15 di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan penjawat awam di negeri ini supaya tidak bersikap malas dan lalai sehingga sehingga mengakibatkan banyak projek pembangunan dirancang tergendala atau berdepan masalah.

Baginda bertitah, sekiranya sikap ini berterusan dan menjadi kebiasaan, rakyat Selangor dibimbangi akan terus menanggung akibat disebabkan sikap tersebut.

“Seperti contoh, projek tebatan banjir dan juga projek baik pulih kemudahan rakyat yang masih gagal dilaksanakan dengan segera.

“Beta ingin mengambil kesempatan ini untuk menasihati para penjawat awam di negeri Selangor agar melakukan anjakan paradigma dalam setiap tugasan dan tanggungjawab yang telah diamanahkan,” titahnya pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Sidang Dewan Negeri Selangor Ke-15, hari ini.

Malah, baginda juga mahu kerenah birokrasi dan peraturan yang menyusahkan dalam urusan kerajaan dikurangkan sementara penjawat awam pula perlu mempunyai sense of urgency (bertindak dengan segera) dalam memastikan perkhidmatan disampaikan dengan pantas dan sempurna.

“Beta akan terus memantau dan memerhati tindak-tanduk para penjawat awam dan kualiti perkhidmatan awam di negeri Selangor ini selaras dengan moto ‘Pertahan dan Setia Kepada Agama Islam’ dan ‘Berkhidmat Kepada Rakyat dan Negara’.

“Beta mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jabatan-jabatan yang yang memberikan perkhidmatan terus kepada rakyat seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan lain-lain memastikan baik pulih harta awam diselenggara dengan baik

“Besarlah harapan beta untuk melihat Selangor ditadbir dengan penuh integriti, berwawasan dan efisien serta kekal dalam keamanan dan kesejahteraan. Rakyat beta perlu diberikan perkhidmatan yang terbaik sesuai dengan pembangunan pesat yang dicapai hari ini dan insya-Allah pada masa hadapan,” tegas baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN