Sultan Ibrahim akan pantau perbelanjaan kerajaan

Sultan Ibrahim akan pantau perbelanjaan kerajaan

SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar dan Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah ketika berangkat ke Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat, semalam. Turut mengiringi Seri Paduka ialah Anwar Ibrahim. – JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Setiap perbelanjaan kerajaan akan dipantau dengan lebih teliti bagi memastikan negara memperoleh lebihan fiskal pada setiap tahun.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, baginda sendiri akan melihat perbelanjaan kerajaan dengan lebih teliti dan memastikan setiap cadangan adalah untuk perkara yang betul-betul diperlukan.

“Saya berharap semasa pemerintahan saya ini, kerajaan akan berjaya memperoleh lebihan fiskal setiap tahun,” titah Seri Paduka pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat, semalam.

Terdahulu, keberangkatan Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah ke Parlimen disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal.

Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah kemudian berangkat ke Dataran Parlimen bagi istiadat pemeriksaan kawalan kehormatan.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim menzahirkan kekecewaan apabila dimaklumkan kerajaan sedang menanggung beban hutang yang semakin besar kerana sejak 1998, negara sentiasa berada dalam kedudukan defisit fiskal.

“Adakah beban hutang ini yang akan kita tinggalkan untuk ditanggung anak cucu kita nanti? Dengan keadaan kewa­ngan kerajaan yang lemah ini, adalah sukar untuk kerajaan melaksanakan projek pemba­ngunan baharu atau memberikan suntikan kewangan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi,” titah baginda.

Justeru, Seri Paduka menyokong hasrat kerajaan untuk mengambil langkah penjimatan yang drastik dan melaksana­kan pemberian subsidi secara bersasar.

Titah baginda, kedudukan ekonomi Malaysia pada 2023 telah berkembang 3.7 peratus dan kekal mampan walaupun prestasi pertumbuhan ekonomi dan perdagangan global berada pada tahap sederhana, di samping itu kadar pengangguran negara berada pada tahap 3.3 peratus pada 2023 dan kadar inflasi sebanyak 2.5 peratus sepanjang tahun lalu.

“Jumlah pelaburan yang diluluskan pada 2023 adalah sebanyak RM329.5 bilion dan telah mencipta lebih 127,000 peluang pekerjaan dalam tempoh yang sama. Bagi perda­gangan antarabangsa pula, eksport negara telah mencatat nilai sebanyak RM1.426 trilion pada 2023.

“Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara pada tahun 2024 diunjurkan berada pada tahap antara empat peratus hingga lima peratus disokong oleh langkah dan pembaharuan yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2024 tempoh hari,” titah Sultan Ibrahim.

Sementara itu, Sultan Ibrahim mahu kecekapan dan prinsip kerja berintegriti jentera kerajaan sentiasa dinilai serta ditingkatkan supaya pemba­ngunan ekonomi dapat dicapai dengan berjaya.

Seri Paduka tidak suka de­ngan sistem yang banyak red tape atau kerenah birokrasi dalam sistem penyampaian kerajaan.

“Oleh itu, kecekapan proses kerja dan tadbir urus mestilah sentiasa dinilai dan ditingkatkan. Agensi penguatkuasaan juga hendaklah menjalankan siasatan dengan lebih cekap dan cepat supaya sesuatu kes itu dapat diselesaikan dengan segera.

“Semua kes yang dibawa ke mahkamah mestilah segera diadili supaya kepercayaan rak­yat terhadap sistem kehakiman negara sentiasa dipelihara,” titah Seri Paduka.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim menyeru kerajaan me­ningkatkan usaha dan galakan untuk pengeluaran barangan dalam negara terutama bekalan makanan harian serta bahan mentah memandangkan kos import yang semakin tinggi.

Titah Seri Paduka, usaha meningkatkan pengeluaran makanan hendaklah dilaksanakan secara lebih tersusun bagi memastikan tahap jaminan makanan negara mencapai sasarannya.

“Pada masa yang sama, pelbagai program untuk me­ringankan beban petani, penternak, nelayan dan pengeluar makanan perlu ditingkatkan agar penghasilan dan pendapatan mereka berada pada tahap tinggi,” titah Sultan Ibrahim.

Seri Paduka turut menyambut baik kedudukan Malaysia di tangga ke-29 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2023 dalam aspek kecekapan kerajaan dan mengalu-alukan usaha berterusan bagi meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap keberkesanan perkhidmatan agensi kerajaan.

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong menyeru kerajaan merangka satu dasar ke arah perpaduan rakyat yang lebih kukuh dan harmoni.

Seri Paduka memerhatikan setelah lebih 60 tahun Malaysia dibentuk, hubungan perpaduan antara kaum belum sempurna kerana masih ada generasi hari ini gagal menguasai bahasa kebangsaan dan memahami budaya hidup kaum lain.

“Pepatah Melayu ada menyebut melentur buluh biarlah dari rebungnya, yang bermaksud jika kita hendak melahirkan generasi masa hadapan yang bersatu-padu dan saling memahami, kita mesti membentuk mereka sejak anak kecil,” titah Seri Paduka.

Sultan Ibrahim menyeru semua lapisan masyarakat supaya memperkukuh perpaduan negara dan tidak menghasut rakyat dengan memainkan isu 3R iaitu agama, raja dan kaum. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×