PUTRAJAYA: Keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang mengisytihar 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sebagai terbatal dan tidak sah untuk dikuatkuasa di negeri itu, menimbulkan polemik terhadap sistem perundangan Persekutuan dan negeri.
Krisis perundangan itu tercetus selepas pempetisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, 62, dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul, 26, berjaya mendapatkan pembatalan undang-undang berkenaan daripada mahkamah tertinggi negara.
Panel sembilan hakim diketuai oleh Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 bagaimanapun memutuskan, dua peruntukan iaitu Seksyen 13 dan Seksyen 30, sah.
Seksyen 13 menyatakan kesalahan menjual atau memberi anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral, manakala Seksyen 30 pula melibatkan perkataan yang boleh memecah keamanan.
Mahkamah Persekutuan memutuskan Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak mempunyai bidang kuasa menggubal peruntukan yang diperikai itu kerana ia terletak di bawah bidang kuasa Parlimen.
Hakim Tengku Maimun berkata, badan berkenaan melangkaui kuasa Parlimen ketika menggubal 16 peruntukan tersebut.
“Seksyen-seksyen yang dicabar tidak sah kerana inpati peruntukan adalah di bawah Senarai Persekutuan kerana hanya Parlimen mempunyai bidang kuasa untuk membuatnya,” demikian menurut Ketua Hakim Negara.
Dalam penghakiman itu, Tengku Maimun menjelaskan, Seksyen 13 berkenaan penjagaan dan untuk mengawal pengembangan doktrin serta kepercayaan dalam kalangan umat Islam yang termasuk di bawah Butiran 1 Senarai Negeri.
“Demikian juga intipati Seksyen 30 adalah untuk mengawal atau menyekat pengembangan doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan penganut, bukannya semata-mata untuk memecah keamanan,” katanya.
Panel itu turut dianggotai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd. Diah, manakala Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli satu-satunya menentang.
Turut menganggotai panel itu ialah Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri P. Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.
Hakim Tengku Maimun bagaimanapun menegaskan, petisyen dikemuka oleh Nik Elin dan anaknya tiada kena mengena dengan isu kesucian agama Islam atau kedudukan mahkamah syariah di negara ini.
Katanya, pihak yang mencabar peruntukan dalam enakmen tersebut dan mahkamah sivil yang membenarkan petisyen mereka, tidak boleh dianggap menentang Allah SWT, sebaliknya digubal Badan Perundangan Negeri Kelantan.
Beliau berpendirian, tidak timbul isu mahkamah sivil tidak mempertahan kedudukan agama Islam atau tidak memperkasa mahkamah syariah.
Sehubungan itu, katanya, mahkamah syariah atau undang-undang Islam di Malaysia tidak akan terkubur atau diletakkan ‘batu nisan’ seperti didakwa peguam, Yusfarizal Yussoff.
Sementara itu, Hakim Abdul Rahman menyifatkan Nik Elin dan anaknya sebagai penyibuk (busybody), ekoran tindakan mereka mencabar 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Beliau turut ‘menempelak’ kedua-dua beranak itu dengan menyatakan, mereka tiada hak di sisi undang-undang (locus standi) memfailkan petisyen itu dalam usaha mengisytihar 18 peruntukan itu terbatal dan tidak sah.
Katanya, hak berperlembagaan Nik Elin dan anaknya tidak terjejas ekoran penguatkuasaan enakmen berkenaan di Kelantan, manakala mereka tidak pernah didakwa atas mana-mana peruntukan berkenaan.
Jelasnya, isu locus standi sepatutnya diperjelas terlebih dahulu kerana tidak wajar bagi panel itu melaksana bidang kuasa asal (inherent jurisdiction) mendengar petisyen tersebut, walhal mereka tiada hak di sisi undang-undang.
“Tiada satupun alasan dikemuka dalam petisyen itu menunjukkan wujud kontroversi sebenar di antara mereka dan Kerajaan Negeri Kelantan atau bagaimana mereka terjejas dengan peruntukan itu,” katanya.
Sementara itu, Nik Elin berkata, petisyen yang dikemuka bukan berlandaskan kepentingan peribadi, sebaliknya bertujuan mempertahan kedaulatan negara.
Katanya, meskipun dikeji, dihina dan dilempar dengan kata-kata kesat berikutan petisyen itu, beliau tetap bersyukur kerana berjaya menegakkan Perlembagaan Persekutuan demi kebaikan Malaysia.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan pula memberitahu akan mempersembah keputusan itu kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V secepat mungkin.
Sambil meluahkan kekecewaan dengan keputusan tersebut, beliau yang mewakili rakyat Kelantan berkata, penghakiman tersebut tidak akan berhenti setakat itu selain enakmen itu sudah lama dikuatkuasa dan tidak mempunyai masalah.
“Sebenarnya dalam mesyuarat Exco, kita telah pun wujudkan satu jawatankuasa untuk meneliti perkara ini. Kita akan dapatkan penghakiman bertulis dan mencari jalan apa yang sepatutnya kita lakukan,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan semalam sebagai sejarah hitam buat undang-undang syariah Islam di negara ini, sekali gus meletakkan undang-undang jenayah syariah Islam di 14 negeri lain dalam amat bahaya dan kritikal.
Katanya, jika mana-mana individu contohnya di Negeri Sembilan atau Melaka yang dituduh kesalahan meliwat, mereka boleh membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan dan memaklumkan kesalahan sama di Kelantan dibatal. – UTUSAN










