Seorang individu ditahan kes anggota Cawangan Khas maut di Ulu Muda - Utusan Malaysia

Seorang individu ditahan kes anggota Cawangan Khas maut di Ulu Muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis menahan seorang suspek berusia 56 tahun bagi membantu siasatan kematian seorang anggota Cawangan Khas (SB) ketika melakukan pemantauan di Hutan Simpan Ulu Muda, Sik awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca tembakan yang menyebabkan kematian mangsa.

“Pada pukul 10 pagi hari ini, kita menerima maklumat berkaitan kematian Pegawai Rendah Polis Cawangan Khas Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah akibat terkena tembakan semasa dalam operasi menyiasat pencerobohan dan pemburuan haram yang berlaku di Kompartmen 124 hutan simpan berkenaan.

“Suspek ditangkap untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan,” katanya di sini hari ini.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 39 tahun bersama anggota Cawangan Khas IPK Kedah, sepasukan polis IPD Sik dan pasukan Pejabat Hutan Daerah Kedah Tengah dibantu orang awam memasuki kawasan hutan simpan itu.

“Kesemua kekuatan yang bergerak ke kawasan itu pada 27 Februari lepas pada pukul 12 tengah hari bermalam di Kompartmen 103, Hutan Simpan Ulu Muda,” katanya. 

Tambahnya, mangsa dikatakan bergerak ke Kompartmen 124 di hutan simpan itu pada pukul 3 petang keesokan harinya dengan menggunakan kenderaan awam untuk membuat pemerhatian dan menjalankan siasatan.

“Sehingga jam 6.30 petang, didapati mereka masih belum pulang ke tempat penginapan yang terletak di Kompartmen 103. Seterusnya usaha mencari mereka dijalankan oleh ahli pasukan yang lain namun hanya menjumpai kenderaan yang digunakan di persimpangan di antara Kompartmen 124 dan 125. 

“Pada hari ini kira-kira 5 pagi, mangsa dibawa balik ke Kompartmen 103 seterusnya ke Hospital Sik untuk tindakan lanjut dan disahkan meninggal dunia,” katanya.

Jelasnya, siasatan juga mendapati dalam kejadian tersebut ketiga-tiga mereka termasuk mangsa dipercayai sesat akibat cuaca gelap dan satu letupan berbunyi kira-kira pukul 2 pagi yang dipercayai terkena mangsa di bahagian hadapan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×