Selesai isu lantik Ketua Kampung akhir Februari - Utusan Malaysia

Selesai isu lantik Ketua Kampung akhir Februari

Ketua Kampung
AMIRUDIN Shari ditemui pemberita dalam sidang akhbar dekat Jeti Markas Polis Marin, Pulau Indah di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Isu pelantikan jawatan Ketua Kampung atau Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di negeri ini dijangka dimuktamadkan seawal akhir bulan ini.

Keputusan tersebut akan dicapai selepas perbincangan lanjut diadakan antara parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) bersama Barisan Nasional (BN) bagi memutuskan individu yang akan mengisi 373 jawatan tersebut di seluruh negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau akan mengemukakan cadangan balas dalam pertemuan tersebut untuk dipertimbangkan oleh kesemua komponen PH dan BN.

“Saya percaya ia boleh dilaksanakan dengan persefahaman yang telah dibuat.

“Ada angka-angka (dipersetujui di peringkat awal) tetapi bila ada perkembangan terbaharu seperti mana yang disebutkan, saya perlu kemukakan balik cadangan balas, tak boleh berbincang melalui media.

“Kalau berbincang melalui media, banyak perkara yang tidak boleh tuntaskan, lebih baik diselesaikan di meja rundingan atau dalam pertemuan yang akan diatur kemudian. Insya-Allah akhir Februari atau awal Mac, saya boleh jamin kita boleh selesaikan,” katanya, dalam sidang akhbar hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Badan Perhubungan BN Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin memaklumkan 20 kuota ahli majlis PBT yang diberikan kepada parti itu dikembalikan semula dan meminta untuk terlibat dalam pelantikan Pengerusi JPKK.

Bagaimanapun, perkara tersebut belum diputuskan secara muktamad oleh PH dan BN di negeri ini menyebabkan timbul dakwaan berlaku pertembungan antara kedua-dua blok itu terutama di peringkat akar umbi.

Malah, Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kuota keanggotaan ahli majlis di 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini masih dibuka kepada BN untuk mengisi kekosongan tersebut meskipun parti itu mengembalikannya semula kepada PH.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim memberitahu, kuota 20 kerusi masih terbuka kepada BN dan komponennya meskipun 11 PBT sudah pun selesai mengadakan angkat sumpah pada bulan ini.

Dalam pada itu, Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor menjelaskan perbincangan lanjut perlu supaya situasi menang-menang dapat dicapai antara parti-parti komponen dalam gabungan perpaduan peringkat negeri.

“Dari segi kuota awal sudah ada rangkanya dan kita sudah bentangkan, jadi bila ada cadangan lain (di peringkat awal) saya rasa lebih baik kita bincang balik untuk dapat situasi menang-menang antara komponen,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN