Sea Sweet Golden Melon Taman Desa Asnaf MAIPs raih hasil pertama - Utusan Malaysia

Sea Sweet Golden Melon Taman Desa Asnaf MAIPs raih hasil pertama

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail memulakan simbolik kutipan hasil dengan memotong tangkal buah ‘Sea Sweet Golden Melon' di Ladang Taman Desa Asnaf MAIPs Batu Bertangkup, Perlis semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Tanaman buah jenis ‘Sea Sweet Golden Melon’ dari Taman Desa Asnaf Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mula meraih hasil pertamanya.

Bagi keluaran sulung tersebut, sebanyak 1,200 biji buah berkenaan telah dituai.

Orang ramai boleh mendapatkan buah berkenaan di Ladang Taman Desa Asnaf MAIPs Batu Bertangkup dari pukul 10 pagi hingga 4 petang dengan harga RM15 sekilogram.

Projek yang diuruskan melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) dalam kawasan seluas 14 ekar sumbangan asal Lembaga Zakat Selangor (LZS) itu merupakan pusat latihan yang merangkumi komponen kemahiran agro ekonomi dan juga penempatan kediaman golongan asnaf fakir dan miskin.

Buah berkenaan mempunyai keistimewaan tersendiri antaranya dua kali lebih manis mencecah bacaan brix 16 ke 18 berbanding tanaman jenis keluarga tembikai wangi lain di samping warnanya yang kuning keemasan menarik minat masyarakat dan lebih ekonomik dan mudah diuruskan oleh pengusahanya.

Demikian dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dalam sesi taklimat beliau kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena program ‘Kayuhan MAIPs Peduli’.

Berangkat sama ialah putera baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Baginda berdua berkenan memulakan ‘simbolik kutipan hasil’ dengan memotong tangkal buah ketika lawatan tersebut.

Untuk rekod, selain komponen agro yang melibatkan aktiviti tanaman rock melon dan ternakan ikan serta penempatan, ladang ini turut dilengkapi dengan Villa Tamu, Homestay Inapan Musafir, Pusat Celik Minda, Pusat Komputer, Surau, Tadika, Padang bola mini, Padang Permainan dan sebagainya.

Dalam program yang sama, Tuanku Syed Faizuddin merangkap Yang Dipertua MAIPS turut berkenan menyantuni tiga buah keluarga asnaf terpilih bagi menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs.

Baginda turut berkenan singgah di Taman Rekreasi Bukit Jernih bagi menyokong kempen ‘Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.

Taman Rekreasi Bukit Jernih ini telah mendapat pengiktirafan sebagai salah satu Geotapak di Malaysia kerana mempunyai pelbagai struktur geologi penting iaitu batu kapur Formasi Chuping yang berusia 240 juta tahun yang dipenuhi pelbagai jenis fosil dan geotrail.

Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di Taman Rekreasi Bukit Jernih ini termasuklah mendaki Bukit Jernih, memanjat dinding bukit, meneroka gua, berkhemah, berjogging santai dan berkayak di Sungai Jernih.

Bagi yang berkeluarga juga boleh beriadah seperti berkelah dan mandi manda di sungai berdekatan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN