‘Saya tidak akan dipecat’ - Utusan Malaysia

‘Saya tidak akan dipecat’

Speaker
ZULKAFPERI HANAPI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi yakin beliau bersama lima lagi anggota Dewan Rakyat dari Parti Bersatu tidak akan dipecat pada Mesyuarat Agung Khas parti itu pada minggu depan.

Malah, Ketua Bahagian Bersatu Tanjong Karang itu yakin, mereka akan hanya akan digantung keahlian selepas membelakangi pimpinan parti dengan memberikan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, tindakan pemecatan oleh pimpinan tertinggi Bersatu hanya akan menyebabkan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berkurangan dan melemahkan sokongan rakyat terhadap mereka.

“Kalau kena pecat, saya akan jadi wakil rakyat bebas dan terpulanglah untuk menyokong sesiapa pun. Tetapi saya yakin pemecatan tidak akan berlaku sebab PN akan hilang ahli parlimen mereka sendiri.

“Kalau pecat tak boleh, maknanya mungkin saya kena gantung. Tetapi itu terpulanglah kepada pimpinan parti yang akan menentukan. Saya berpendirian dalam soal ini maslahah rakyat adalah lebih penting berbanding parti politik,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Malah, Dr. Zulkafperi menegaskan, sehingga hari ini beliau masih lagi ahli Bersatu dan memegang jawatan Ketua Bahagian Bersatu Tanjong Karang walaupun mengakui membuat keputusan membelakangkan parti untuk menyokong Kerajaan Perpaduan.

Terdahulu, beliau dilapor menjadi Ahli Parlimen keenam daripada blok pembangkang mengisytiharkan sokongannya kepada Perdana Menteri.

Dr. Zulkafperi menerusi kenyataan medianya berkata, perisytiharan itu dilakukan tanpa sebarang paksaan dan tekanan mana-mana pihak malah, ia dilakukan dengan sepenuh hati untuk kepentingan penduduk Tanjong Karang.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan keputusan diambil untuk menyokong Perdana Menteri selepas memberi tempoh masa setahun pada tahun lalu kepada PN untuk mengambil alih kerajaan.

“Saya sudah beri masa, masih tidak menjadi kerajaan. Amat sukar bagi saya menjadi ahli parlimen pembangkang untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat dalam keadaan tiada peruntukan dan pengundi. Saya tidak dapat berfungsi sebagai ahli parlimen.

“Keadaan ekonomi kurang baik akibat kesan daripada pandemik. Sekarang adalah masa untuk pemulihan yang memerlukan semua orang memberi sokongan. Saya seru semua rakan-rakan dari Bersatu dan Pas hentikan berpolitik dan bersama-sama menyokong pimpinan negara,” tegasnya.

Katanya lagi, tidak timbul soal khianat apabila beliau mengisytihar sokongan kepada kerajaan jika kira-kira 69,000 pengundinya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu tidak mendapat manfaat. – UTUSAN

ZULKAFPERI HANAPI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN